Mengintai dari LUAR JENDELA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

MALAM semalam, ketika membaca perihal dunia di Facebook, saya terkesan dengan gambar (lukisan) yang memaparkan sesi pembelajaran secara dalam talian melibatkan dua pelajar yang masih kanak-kanak.
Seorang di dalam sebuah bilik di dalam rumah, sementara seorang lagi di luar rumah, namun lokasinya sama.
Kedua-duanya cuma dipisahkan oleh dinding rumah dan tingkap.
Meneliti lukisan itu, kanak-kanak di dalam bilik tadi tidak menyedari akan kanak-kanak sebayanya di luar rumah.
Kanak-kanak di dalam bilik itu sungguh selesa. Duduk di kerusi yang kelihatan empuk, tidak berpanas dan belajar menggunakan komputer.
Segala-galanya dia miliki bagi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah.
Berbeza pula dengan kanak-kanak di luar rumah tadi.
Dia hanya membawa sebuah buku dan pensel. Matanya tertumpu pada skrin komputer kanak-kanak yang berada di dalam bilik tadi.
Dia menyalin apa-apa yang dipaparkan pada skrin komputer itu.
Bagi mendapatkan sudut pandangan yang lebih jelas, kanak-kanak itu berdiri di atas kotak sebagai tempat untuk berpijak.
Tidak cukup dengan itu, keadaan kanak-kanak itu turut membekas di hati.
Pakaiannya tidak terurus.
Ada bahagian baju dan seluarnya koyak – compang-camping.
Menjelaskan keadaan keluarganya yang mungkin serba kekurangan.
Walaupun lakaran lukisan itu nampak mudah, namun memberikan 1,001 kesan.
Ada sesuatu yang cuba disampaikan oleh pelukis lukisan tersebut.
Ketika membekas di dalam hati melihat keadaan kanak-kanak itu, ia sebenarnya boleh membangkitkan satu semangat.
Tiada apa-apa yang dapat menghalang untuk belajar. Walaupun dalam serba kekurangan, setiap individu tetap boleh belajar.
Mungkin caranya berbeza antara individu. Ada yang belajar dalam keadaan sungguh selesa, ada yang tidak. Perihal sebegini sebenarnya sudah banyak kali dipaparkan melalui drama di televisyen.
Bagaimana seorang pelajar yang tidak mampu ke sekolah hanya mampu belajar dengan mengintai dari luar bilik kelas.
Hari ini tiada lagi situasi demikian, kerana setiap seorang tidak dinafikan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Berbalik kepada cerita dua kanak-kanak pada gambar tadi, sebenarnya kanak-kanak yang berada di luar tadi begitu memerlukan bantuan, terutama keperluan peralatan untuk belajar – peralatan telekomunikasi. Bukan seorang dua, tetapi ramai pelajar dalam keadaan demikian, lebih-lebih lagi ketika negara masih bergelut dengan penularan pandemik Covid-19.
Ini memaksa proses pengajaran dan pembelajaran terpaksa diadakan dari rumah.
Pelajar berada di rumah sendiri, begitu juga dengan guru juga mula mengajar dari rumah kerana tiada guru dan kakitangan sekolah dibenarkan berada di sekolah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat.
Penghubung antara guru dengan pelajar hanya peranti telekomunikasi dan data Internet.
Hari ini pembelajaran tidak secara bersemuka sebaliknya secara dalam talian mengikut masa sebenar.
Bayangkan pelajar tadi mempunyai seunit komputer riba ataupun sekurang-kurangnya satu telefon bimbit yang dapat mengakses Internet.
Pasti dia juga dapat belajar di rumah sendiri tanpa perlu mengintai dari luar jenjela rumah orang lain.
Berkongsi telefon bimbit
Begitu juga dengan kisah lima beradik yang terpaksa berkongsi satu telefon bimbit bapanya untuk belajar secara dalam talian dari rumah.
Kisah mereka turut dimuatkan di banyak dada akhbar, malah turut dikongsikan di laman media sosial.
Bapa tersebut memberitahu, ada anak-anaknya yang menangis sebab terlalu menunggu adik-beradik lain menggunakan telefon itu.
Dengan itu, si bapa terpaksa tidak membawa telefon ke tempat kerja bagi memudahkan anak-anaknya belajar.
Dengan pendapatan tidak seberapa, si bapa tadi perlu membelanjakan RM30 sehari untuk tambah nilai dan data Internet
Kisah lain pula, ketiga-tiga beradik cukup gembira apabila mendapat sumbangan tablet daripada Ustaz Ebit Liew. Mereka bertiga berkongsi menggunakan tablet tersebut bagi memastikan tidak ketinggalan pelajaran.
Ebit Liew membeli 100 tablet untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.
Dilaporkan juga Ebit Liew menerima 43,000 mesej memohon tablet itu.
Ini bermakna lebih ramai pelajar memerlukan peranti serupa. Mengulas tindakan Ebit Liew, Ketua Pegawai Eksekutif Shehkhinah PR Sdn Bhd Christopher Raj dipetik dari Berita Harian berkata, jika rakyat Malaysia menyumbang minimum RM2, ia sudah cukup untuk membeli tablet pelajar yang memerlukan.
Mungkin langkah ini dapat difikirkan seperti mana pewujudan Tabung Harapan Malaysia yang berjaya mengumpul jutaan ringgit.
Berebut-rebut syarikat gergasi hadir untuk menyerahkan cek sumbangan masing-masing.
Alangkah bagus jika ada syarikat sedemikian berlumba-lumba mengeluarkan dana bagi membeli tablet untuk diagihkan kepada pelajar.
Jika perlu sumbangan itu dihebahkan melalui media, ia tidak menjadi masalah kerana boleh menjadi ikutan orang lain.
Kesimpulannya, beruntung anak-anak mempunyai komputer sendiri ataupun sekurang-kurangnya mempunyai telefon bimbit dengan data Internet yang laju.
Yang langsung tidak perlu memikirkan peralatan yang diperlukan untuk mengikuti kelas dalam talian. Bagaimana pula pelajar yang tiada kemudahan tersebut?

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Impian diraja, rakyat

IMPIAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Rahmah jaga perut

SEBELUM Kerajaan Perpaduan memperkenalkan hidangan Menu Rahmah tahun ini, menu

Lain-lain

Hobi kami mahal

BEBERAPA tahun kebelakangan ini saya melihat aktiviti berbasikal semakin menjadi

Venue pemburu menu

BERKONGSI juadah dengan jiran, sepanjang Ramadan menjadi amalan penduduk kampung

Siapa diktator?

BARU-BARU ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa