Mengintai rezeki air dari Tanjung Manat

TANJUNG MANIS: Terletak kirakira 10 minit perjalanan menaiki bot dari Pantai Belawai, kawasan yang dikenali Tanjung Manat, terkenal sebagai lubuk ikan pari dalam kalangan kaki joran.
Selain menjadi habitat kepada pelbagai spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan, keindahan alam semula jadinya juga masih kekal terpelihara.
Penduduk, Ibnee Ekni, 56, berkata, walaupun nama pantai itu tidak dikenali ramai namun, sesiapa pun yang berkunjung ke situ pasti terpegun dengan keunikan pemandangan Tanjung Manat.
Malah katanya, kawasan yang tidak berpenghuni itu menyajikan fenomena alam yang luar biasa, seolah-olah mengajak pengunjung mengamati, merenung dan bersyukur dengan keindahan alam kurniaan Tuhan.

“Kawasan ini memang tidak terusik sekali gus menjadinya sebagai lokasi ideal untuk pembiakan pelbagai spesies hidupan laut, termasuk ikan. Penduduk kampung juga sering ke sini untuk menangkap udang segar menggunakan teknik ‘jermai’ dan hasilnya memang tidak menghampakan.
“Tidak ramai yang tahu mengenainya kecuali penduduk setempat dan kaki pancing yang sering berkunjung ke sini. Selain pari, pemancing bertuah juga boleh membawa pulang sembilang, siakap, kerapu, gelama, senangin, kertang dan tenggiri,” katanya kepada Suara Sarawak.
Menurut Ibnee, tidak sekadar itu, tunggul-tunggul kayu mati yang banyak terdapat di pesisir pantai itu menambah lagi keunikan dan keistimewaan Tanjung Manat di mata pengunjung terutama bagi insan yang berjiwa seni.
Ujarnya, reka bentuk semula jadi kayu mati itu sesuai untuk dijadikan kraf tangan dan pelbagai kegunaan lain bagi mereka yang kreatif.
Tambahan pula katanya, apabila sebahagian besar tunggul di kawasan itu adalah dari spesies pokok yang tahan lama dan tidak mudah reput. “Pokok ru, bakau minyak dan ara memang banyak terdampar di Tanjung Manat.
Mungkin ada yang berusia puluhan hingga ratusan tahun. “Mungkin tidak ada harganya tetapi bagi mereka yang kreatif, kayu-kayu ini sebenarnya bernilai tinggi jika diubah menjadi barangan seperti kraf tangan, perabot atau kayu tenggelam bagi peminat ikan hiasan,” katanya yang juga Pengurus Iftitah Resort & Restoran Belawai.
Sementara itu, seorang pengunjung, Ling King Ho, 45, dari Bintulu berkata, berkunjung ke Tanjung Manat menjanjikan pengalaman yang cukup mengasyikkan.
Kawasan itu katanya, bukan sahaja belum tercemar tetapi juga mempunyai pemandangan alam semula jadi yang memukau. “Saya pernah datang ke sini bersama rakan-rakan.
Kami menaiki bot dari Pantai Iftitah sebelum dibawa mengelilingi kawasan tanjung itu. Bersantai seketika di tepi pantai memang terasa cukup tenang dan damai.
Jika berpeluang, saya ingin sekali lagi datang ke situ,” ujarnya. Sebagai info, pengunjung boleh ke Tanjung Manat melalui Pantai Iftitah Belawai dengan membayar sewaan bot sebanyak RM200 untuk sekali perjalanan.

Suara Sarawak