Menikmati keindahan Kampung Santubong

KUCHING: Sebut sahaja Kampung Santubong, pasti terlintas di fikiran mengenai produk hasil laut seperti ikan, udang dan ketam yang ditangkap nelayan tempatan.

Terkenal sebagai antara perkampungan nelayan popular di Sarawak, Kampung Santubong turut terkenal dengan keindahan alam semula jadi.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kelebihan itu mampu menjadikan Kampung Santubong sebagai lokasi pelancongan penting di Sarawak.

Malah menurutnya, kampung tersebut turut terletak berhampiran Gunung Santubong yang dikelilingi laut serta kawasan pantai yang menarik.

“Jadi kita sentiasa mengalu-alukan kedatangan orang luar (pelancong) ke kampung ini,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurir Rahmani Kampung Santubong semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, program pembangunan akan terus dilaksanakan di kampung itu agar selari dengan kemajuan.

Sehubungan itu menurutnya, penduduk Kampung Santubong patut merebut peluang berdasarkan kelebihan itu untuk mengusahakan perniagaan walaupun secara kecil-kecilan.

“Kita perlu rebut peluang yang ada kerana ramai pelancong datang ke kampung kita,” ujarnya.

Beliau menambah, perusahaan inap desa yang dijalankan penduduk tempatan menambah lagi produk pelancongan yang terdapat di Kampung Santubong.

“Pelancong yang datang dan menginap di inap desa kampung ini dapat bersama-sama menikmati kehidupan kampung dan makanan masyarakat tempatan,” jelasnya.

Sementara itu katanya, kewujudan Taman Arkeologi Santubong turut menjadi tumpuan kerana keunikan dan ketinggian nilai sejarahnya.

“Ia melibatkan lima jenis batuan unik termasuk batu bergambayang terdapat di Sungai Jaong dan Kampung Santubong merupakan antara tarikan di kawasan ini.

“Tarikan lain termasuk Makam Sultan Tengah dan Pusat Wallace yang dibangunkan daripada sebuah banglo yang pernah menjadi kediaman seorang saintis dan pengembara Inggeris, Alfred Russel Wallace suatu ketika dahulu,” kata Dr Abdul Rahman.

Bukan itu sahaja jelasnya, kawasan di sekitar Kampung Santubong juga menempatkan tapak warisan dan peninggalan sejarah di Bukit Maras dan Bongkissam.

“Santubong merupakan tapak awal sejarah di Kepulauan Borneo, sehubungan itu khazanah ini perlu dijaga dan dipelihara sebagai produk pelancongan,” tambahnya.

Suara Sarawak