Meningkatkan kualiti pendidikan di Sarawak

PENDIDIKAN memainkan peranan utama dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Sekiranya rakyat tidak mempunyai akses atau penyediaan pendidikan sempurna dan berkualiti, peluang mereka menikmati kemajuan ekonomi akan terjejas.

Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Negara, asas utama ialah memastikan setiap institusi pendidikan terutama pada peringkat sekolah mempunyai infrastruktur mencukupi bagi pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum berkesan termasuk persekitaran yang kondusif.

Isu sekolah daif di Sarawak menjadi isu berpanjangan sehingga termeterainya kerjasama Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk melangsaikan dana RM1 bilion secara berperingkat-peringkat.

Editor Berita Kanan Suara Sarawak ROHANA WAHED menemui Pengarah Pendidikan Negeri Dr Azhar Ahmad untuk barkongsi pelan dan rancangan jangka masa panjang pendidikan negeri ini.

SUARA SARAWAK: Minta Dr gambarkan masalah sekolah daif di Sarawak, dari 1 hingga 10, kawasan mana kategori paling daif?

DR AZHAR AHMAD: Daripada 31 daerah di Sarawak, kebanyakan daerah masih mempunyai sekolah daif pada skala 6 hingga 7 yang memerlukan penggantian, pembaikan dan naik taraf. Beberapa daerah mempunyai bilangan sekolah daif skala 6 dan 7 tinggi seperti Saratok, Simunjan, Julau, Kapit, Baram, Subis, Serian dan Daro. Pecahan sekolah daif skala 6 dan 7 di daerah tersebut seperti Saratok sebanyak 50 sekolah, Simunjan 42, Julau 34, Kapit 30, Baram 32, Subis 36, Serian 30, dan Daro 25

Dalam RTP 2018 hingga 2020, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM20 juta melibatkan 63 sekolah. Di bawah Dana Peruntukan Khas Ketua Menteri pula RM37 juta melibatkan 90 sekolah menjadikan keseluruhan peruntukan RM123 juta. Jumlah itu tidak mencukupi. Apa komen Dr?

Jabatan mengenal pasti 600 sekolah daif di Sarawak yang berada dalam skala 6 dan 7 yang memerlukan peruntukan bagi menaik taraf bangunan di sekolah tersebut. Kerajaan Sarawak membantu menyelesaikan masalah sekolah daif dengan menurunkan peruntukan bagi tujuan ubah suai dan naik taraf 33 sekolah dalam projek Rural Transformation Initiative (RTI) 2018 dan pembinaan sekolah baharu iaitu SK Meludam dan SK Ulu Segan.

Selain itu, melalui program lain seperti RTP, sekolah yang terlibat menerima pelbagai bantuan, pembinaan bangunan baharu serta naik taraf bangunan seperti dewan serba guna, gelanggang, bilik darjah, tandas pelajar, flat kediaman guru serta kemudahan lain. Bagaimanapun, bilangan sekolah daif tinggi di Sarawak masih memerlukan peruntukan

besar untuk menaik taraf sekolah tersebut agar pelajar dan warga sekolah mendapat prasarana yang sepatutnya selaras dengan PPPM 2013-2025.

Sarawak memerlukan sekitar RM3 bilion untuk membina semula dan menaik taraf sekolah daif di negeri ini melibatkan 904 sekolah. Adakah Dr rasa isu ini berlarutan jika Kerajaan Persekutuan main tarik tali berhubung dana RM1 bilion?

Kementerian Pendidikan Malaysia bersama-sama Kerajaan Sarawak berganding bahu melaksanakan kerjasama yang dapat membantu menaik taraf sekolah daif di Sarawak.

Di peringkat KPM, beberapa projek dilaksanakan iaitu IBS 2016 yang melibatkan gantian sebahagian bangunan di 20 sekolah, IBS 2017 melibatkan 30 sekolah, IBS 2018 melibatkan 116 sekolah dan IBS 2019 melibatkan 32 sekolah. Selain itu, projek RMK-11 melibatkan 36 sekolah dan RMK-11(RP1- RP4) melibatkan 49 sekolah. Anggaran kos projek tersebut adalah pada peringkat pelaksanaan.

Di peringkat Kerajaan Sarawak, peruntukan USNT (Ubah Suai Naik Taraf) melibatkan 33 sekolah untuk projek RTI 2018 dan pembinaan sekolah baharu, iaitu SK Meludam dan SK Ulu Segan.

Selain itu, peruntukan RM1 bilion bagi tujuan pembayaran hutang Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan digunakan bagi tujuan menaik taraf sekolah daif di Sarawak.

Ia amat diperlukan untuk membantu usaha yang dilaksanakan oleh KPM dan Kerajaan Sarawak. Peruntukan ini dapat membantu mengatasi masalah sekolah daif di Sarawak terutamanya dapat memenuhi keadaan fizikal komponen, fasiliti, bangunan yang tidak sempurna.

Ini termasuk bangunan tidak selamat digunakan yang dapat mendatangkan ancaman, bahaya berbentuk kecerderaan, kecelakaan atau kehilangan nyawa manusia atau hidupan yang mendapat pengesahan tidak selamat dan mengancam nyawa daripada JKR.

Keadaan fizikal komponen, fasiliti, bangunan yang tidak sempurna, tidak berfungsi dan tidak selamat digunakan yang dapat mendatangkan ancaman, bahaya berbentuk kecederaan, kecelakaan atau kehilangan nyawa manusia atau hidapan yang mendapat pengesahan bahagian teknikal di JPN sehingga ke peringkat PPD.

Keadaan fizikal komponen, fasiliti, bangunan yang tidak sempurna, tidak berfungsi dan tidak selamat digunakan yang dapat mendatangkan ancaman, bahaya berbentuk kecederaan, kecelakaan atau kehilangan myawa berdasarkan persepsi pengguna semasa.

Mulai Januari 2019, sekolah di Sarawak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik. Sejauh manakah kita tidak boleh gagal menjadi yang pertama dan teladan kepada negeri lain?

Ya… kita tidak boleh gagal dan perlu menjadi teladan kapada semua. Program pembangunan profesional berterusan melalui kaedah Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) melalui kolaborasi dan perbincangan antara guru yang mengajar mata pelajaran sama di sekolah juga bimbingan daripada Jurulatih Pakar Pemajuan Sekolah (SISC+) di peringkat daerah masing-masing.

Latihan juga diberikan kepada semua guru Sains dan Matematik seramai 7,508 orang dalam tempoh September 2019 hingga November 2020.

Pelaksanaan melibatkan tiga fasa latihan yang fokus kepada penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dan menggunakan kaedah pedagogi terkini Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21).

Ia cabaran besar kerana pertama perlu melatih guru menguasai bahasa itu, dan kedua kebolehan pelajar terutama luar bandar mendepani subjek dalam BI?

Betul, ia cabaran paling penting. Sebab itu, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dimulakan dari Tahun 1. Ini membantu murid menguasai bahasa tersebut peringkat awal persekolahan. Program ini meningkatkan masa penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid… itu inisiatif yang harus dilaksanakan agar pelan ini mencapai sasaran. Melalui pertambahan masa inilah membantu meningkatkan keupayaan murid menguasai bahasa Inggeris.

Apakah pandangan Dr berkaitan STEM yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan?

Inisiatif Pengukuhan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan inisiatif #49 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diterajui Pusat STEM Negara di bawah Bahagian Penilaian dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP).

Matlamat pendidikan STEM melahirkan murid berliterasi STEM yang berupaya mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasikan konsep STEM untuk memahami masalah dan menyelesaikannya secara kreatif dan inovatif melalui pembelajaran bersepadu STEM yang mengaplikasikan konteks dunia sebenar dan menggunakan pendekatan hands-on dan penerokaan terbuka.

Pelbagai aktiviti serta program berkenaan STEM dijalankan pada 2019. Bermula 21 Februari lalu, dengan Program National Geographic STEM and English Learning yang melibatkan tujuh sekolah rendah dan dua sekolah menengah diadakan di Kuching. Program ini merupakan bengkel interaktif dan bersifat hands-on dikendalikan konsultan dilantik oleh National Geographic.

Digital Talent Development Programme juga dimulakan di Sarawak pada Februari dan berterusan sehingga September. Program ini melibatkan murid dan guru dari lapan sekolah rendah dan lapan sekolah menengah. Pengisian program adalah berkaitan pemprograman, robotik dan reka bentuk teknologi.

Pada Mac pula, Karnival dan Jerayawar STEM dijalankan di SK Rakyat Jalan Haji Bolhassan yang bertindak selaku tuan rumah. Showcase STEM Playground Sempena SCaT Fair 2018 yang melibatkan penyertaan daripada guru dan murid prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah juga diadakan di BCCK pada Mac.

Pada April, Karnival STEM di SK Rampangi dengan usaha sama IAB dan Unimas berjaya dilaksanakan. Program Mentor-Mentee STEM juga dilaksanakan pada April melibatkan empat sekolah menengah dari empat PPD berbeza.

Tetapi pelajar sendiri harus meminati subjek Sains dan Matematik supaya pelan STEM dapat mencapai objektif?

Program usaha sama antara JPNS dengan Unimas. Pada Jun pula, Kuiz Sains dan Matematik Peringkat Negeri Anjuran USCI dengan usaha sama JPNS dijalankan pada 17 Jun 2019 melibatkan 303 murid tingkatan 4 dan tingkatan 5 dari 47 sekolah menengah seluruh Sarawak.

Seterusnya program IET Faraday Challenge juga dijalankan pada 22 Jun 2019 di Universiti Swinburne atas usaha sama JPNS yang melibatkan 100 murid dan 20 guru dari 20 sekolah menengah.

Penganjuran program usaha sama Pusat STEM Negara, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Keseluruhannya, inisiatif pengukuhan pendidikan STEM di Sarawak giat dilaksanakan bersama-sama pelbagai pihak berkaitan dan menunjukkan peningkatan enrolmen murid aliran sains daripada 19.7 peratus pada 2017 kepada 23.2 peratus pada 2018.

Setakat 30 Mac tahun ini, enrolmen murid dalam aliran sains meningkat kepada 24.3 peratus.