Menjejaki kontak rapat Covid-19

MIRI: Pejabat Kesihatan Bahagian Miri melalui Bilik Gerakan Covid bertungkus-lumus melakukan siasatan kes dan melaksanakan pengesanan kontak rapat Covid-19 di Miri.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, pengesanan itu dilakukan susulan Miri bertukar kepada kuning yang mencatatkan 12 kes jangkitan tempatan sejak 28 hingga 30 Oktober lalu.

Datuk Lee Kim Shin

“Sebanyak 314 kontak rapat terdiri daripada ahli keluarga, kontak kapal terbang, kontek tempat kerja dan kontek sosial dikenal pasti, diberikan perintah kuarantin di rumah masing-masing dan menjalani ujian pengesanan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri baru-baru ini.

Kim Shim yang juga menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri berkata, syarikat penerbangan juga memberi kerjasama dalam pengesanan kontak rapat.

“Untuk makluman, bagi kontak kapal terbang, pengembara di tempat duduk dua baris hadapan, dua baris belakang dan baris bersebelahan dikenal pasti melalui kerjasama syarikat penerbangan yang memberikan senarai penumpang berserta butiran dengan segera kepada Bilik Gerakan Covid-19,” jelasnya.

Adun Senadin itu menarik perhatian dan mendak, ada petugas kesihatan bertugas sehingga jam 2.30 pagi bagi melaporkan kes harian Covid-19. Mengulas mengenai 12 kes di Miri Kim Shin menjelaskan, daripada jumlah tersebut tiga kes melibatkan kakitangan pesisir pantai yang datang dari Semenanjung Malaysia dan dikuarantinkan sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri.

Manakala sebanyak empat kes melibatkan kontak kes positif Kluster Green Hill sementara satu kes melibatkan individu dari Labuan. Manakala terdapat dua kes dikesan melibatkan petugas kesihatan dan hospital, manakala dua kes di Hospital Miri merupakan pesakit yang mengalami radang paru-paru.

Mengulas mengenai maklumat palsu yang menjadi tular di media sosial, Kim Shin menasihati masyarakat agar tidak mendengar khabar angin atau menyebarkan apa-apa berita yang tidak tepat dan tidak sahih.

Orang awam katanya diingat agar mematuhi aspek pencegahan pandemik Covid-19 yang digariskan oleh JPBNS dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ia mematuhi arahan pemakaian pelitup separuh muka penggunaan cecair pembasmi kuman, penjarakan fizikal serta duduk di rumah jika tiada keperluan untuk berada di luar.

Orang awam juga dinasihatkan agar elakkan 3S (Sesak, Sempit & Sembang Dekat) dan membantu kepada usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan berkaitan polisi semasa JPBNS berkaitan Covid-19 boleh menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Residen Miri (085-322737), Bilik Gerakan Covid Kesihatan, 085-410722, 085-322085) dan Bilik Gerakan Angkatan Pertahanan Awam 085-430389.

Suara Sarawak