PAKAR fizik Oxford Stephen Hawking yang terkenal dengan tesis lubang hitam, pernah meramalkan perihal kehancuran peradaban manusia.
Tiga hal yang dikatakan Hawking penyebab kehancuran peradaban manusia; pertama perang nuklear dan kedua persaingan dengan alien cerdas yang tidak ramah manusia.
Hawking yang menderita neuron motorik, mirip amyotrophic lateral sclerosis (ALS) yang membuatnya lumpuh sehingga bertahan hidup di atas kerusi roda.
Hawking meninggal pada 2018 itu, pernah mengatakan AI akan “lepas landasan” dengan sendirinya, dan ia mampu mereka ulang dirinya dengan kecepatan yang pantas.
Ironisnya, Hawking yang sukar bercakap sebaliknya hanya menggunakan suara robotik dibantu sintesis suara AI sejak 2014.
Pada masa yang sama, beliau meletakkan AI yang tidak terkawal sebagai penyebab ketiga ancaman
eksistensial terbesar peradaban manusia!
Hebatnya, peringatan Hawking itu sehingga menghantui bilionaire Elon Musk, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla Motors itu, yang turut mengulang sebut kenyataan Hawking bahawa AI sebagai ancaman eksistensial!
Pada 2015, Elon Musk bersama- sama Sam Altman, Greg Brockman, Ilya Sutskever, John Schulman dan Wojciech Zaremba mendirikan OpenAI 2015 untuk menerajui projek teknologi AI secara bertanggungjawab.
Namun, pada 2018, Musk keluar dari dewan pengarah OpenAI dek kerana perbezaan pandangan berkaitan hala tuju pembangunan teknologi AI.
Ketika itu, ChatGPT dikembangkan oleh OpenAI untuk memfasilitasi komunikasi antara manusia dengan mesin.
Hawking pernah percaya bahawa agresi manusia dapat menghancurkan peradaban. Menurutnya, jika mesin tidak membunuh, manusia mungkin membunuh diri sendiri!
Munculnya GPT-4
Pada 11 Januari lepas, dua minggu setelah GPT-4 tampil, Elon Musk bersama-sama para sarjana menulis surat yang diterbitkan secara dalam talian melalui Future of Life Institute, organisasi sukarelawan yang mahu meminimumkan ancaman eksistensial terhadap kemanusiaan.
Mereka menulis: “Kerana potensi AI yang besar, penting meneliti bagaimana memanfaatkannya sambil mengelak potensi terperangkap”.
ChatGPT sudah mencapai kecerdasan luar biasa dari menulis puisi, bercerita sehinggalah hadir dengan pelbagai kecerdasannya untuk menjalani ujian kedoktoran atau peguam.
Bahkan, di alam kerjaya, AI sudah pun menggantikan sejumlah tenaga kerja manusia.
Berada di hadapan puluhan pesaing yang mengangkat teknologi AI, OpenAI memperkenalkan generasi terbaru GPT-4, mendakwa ia memiliki sederet keunggulan berbanding versi awal dan pesaingnya.
Antara kemampuan baharu GPT-4 ialah memproses visual atau gambar, lebih kreatif dan mampu menjadi pemecah masalah berbanding GPT-3.5 hanya mampu memproses teks.
GPT-4 dikatakan “terlalu yakin diri” sehingga memberi pengguna cara menciptakan campuran kimia baharu, padahal kebenarannya masih memerlukan pengesahan pakar kimia.
OpenAI dalam laporan teknikalnya menyebut, batasan terbesar GPT-4 ialah ia “berhalusinasi” dan mengada-ada perihal maklumat dan dianggap sering “salah dalam andaiannya” dan ada yang dianggap “gila”.
Analisis
Ini bermakna GPT-4 dapat menganalisis kandungan gambar dan menghubungkan maklumat tersebut dengan pertanyaan tertulis, misalnya jika ditanya tentang makanan ia dapat menjawab dengan memberikan beberapa contoh makanan, sama ada garing atau manis.
Bahkan, GPT-4 dapat menjelaskan lelucon dari beberapa gambar yang menampilkan telefon pintar dengan pengecaj yang salah dan menjelaskan mengapa hal itu lucu bagi pandangannya.
Kalau robot mengatakan sesuatu hal itu lucu, tidakkah ia sudah memiliki daya rasa dan perasaan. Dan ini menakutkan bukan?
Jika GPT3.5 dikatakan hebat, tampil dengan bahasa kreatif bahkan bombastik, maka kemampuan bahasa GPT4 lebih kuat dan dapat memecah masalah yang sukar dengan ketepatan lebih tinggi.
GPT4 sudah mendukung pelbagai aplikasi Google, Yahoo termasuk mendukung chatbot Bing Microsoft.
Mahu ke mana hala tuju pembangunan GPT-4 serta aplikasi AI lainnnya yang dibangunkan oleh IBM, Amazon, Baidu Tencent dan sebagainya, ketika Elon Musk dan tokoh lain terdiri daripada pemimpin syarikat teknologi, profesor hingga pengkaji membawa lebih 1,300 tandatangan meminta kajian AI ini direhatkan sejenak!
Meta yang sibuk membangunkan dunia lain metaverse di alam maya, khabarnya seperti dibocorkan forum Internet, sudah pun membesut LLaMA – AI yang dilancarkan dua minggu lepas meski ia tidak terbuka untuk khalayak.
LLaMA milik Meta dikatakan lonjakan teknologi bahasa AI yang menjanjikan cara baharu manusia dapat berinteraksi dengan komputer.
Metaverse itu sendiri masih misteri dan bakal membuat kejutan ketika ia masih menunggu masa yang sesuai.
Ini satu lagi perkembangan teknologi yang membingungkan manusia ketika ramai mahu mengaksesnya di langit terbuka maya.
Perlumbaan
Kedengarannya dalam beberapa bulan terakhir makmal AI berada dalam perlumbaan di luar kendali – bahkan seperti sukar difahami, dijangka atau dikendalikan oleh sesiapa pun – termasuk oleh orang yang menciptanya!
Bunyinya menakutkan ketika surat tersebut meminta kerajaan turun tangan dan membuat moratorium untuk menyekat sementara pengembangan AI.
Bagaimanapun, pasukan pengkaji AI dari Universiti Oxford dan Universiti Ochanomizu Jepun menyebut 10 tahun lagi, tugasan seharian di rumah dari memasak sehingga mengurus anak sekitar 40 peratus akan lebih mudah diambil alih AI!
Dilema, antara ancaman dengan manfaat lebih besar buat manusia, kita tidak nampak usaha pembangunan AI secara optimum mahu dibantutkan.
Apa pun, jika tidak terkendali kemudiannya kelak sebagaimana ramalan Hawking itu, kita biasa mendengar pepatah manusia mengatakan “penyesalan itu biasanya datang kemudian”.