ARTIKEL

Menjual kolera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

CLAYTON ROBERT bertugas sebagai Pembantu Penguat Kuasa Majlis Daerah Serian di Serian, Sarawak.Karya beliau tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah termasuk Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Pelita Bahasa, Tunas Cipta, Utusan Borneo, Utusan Sarawak, Utusan Malaysia, Sinar Harian dan Suara Sarawak. Beliau pernah memenangi pelbagai anugerah sastera termasuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2019), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2019) dan Hadiah Sastera Penulis Sarawak (2019, 2022).Dua novel karya beliau ialah Cinta Langgi, Penerbitan Ilham Pesona, 2017 dan Dayung Kumang, UUM Press Kreatif, 2018.Clayton Robert pernah menjadi ahli panel Forum Arah Tuju Sastera Sarawak 2018 anjuran DBPCS dengan tema Mengangkat Karya Sastera Penulis Pelbagai Kaum di Sarawak

MATAHARI yang bangun dengan megahnya dari langit timur, tanpa segan silu memancarkan cahayanya di serata kawasan mengatasi rumah-rumah di kampung ini.

Bumbung zink dan papan dinding menerima tamparan hebat haba yang memercik tanpa belas kasihan.

Suasana membahang di dalam rumah membuat aku pantas mencari udara dingin di luar rumah.

Kipas yang dipasang tidak sedikit pun membantu menyalurkan rasa nyaman dan kesejukan.

Aku sengaja tidak menyalakan suis pendingin hawa yang melekat di dinding rumah.

Lebih baik kembali kepada alam untuk mencari nikmat kedinginan yang sesunguhnya di bawah payungan pohon rambutan yang rendang depan rumah.

Dengan sedaya upaya aku mahu mengurangkan kesan gas rumah hijau yang disebabkan oleh pelepasan bahan kloroflourokarbon untuk mengelak penipisan lapisan ozon.

Tambahan lagi, Pertubungan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran peningkatan suhu global atau fenomena El Nino dan berkemungkinan mencatat rekod kepanasan baharu untuk tahun ini.

Aku menapak keluar dari pintu rumah menuju pangkin kayu belian di bawah pohon rambutan.

AIR SUNGAI

Suasana bising dengan deruman enjin motosikal ke hulu, ke hilir sejak tadi.

Sempat aku melirik mata ke bakul motosikal yang penuh berisi dengan botol-botol berisi air sungai.

Dapat dibezakan antara air sungai dengan air bersih dengan sekali pandang.

Aku melihat air di dalam botol itu keruh sedikit.

Namun, tidak pasti sama ada air itu dijadikan air minum atau untuk mandi.

Sambil menggeleng-geleng kepala, tiba-tiba kerisauan merayap dalam diriku.

Kes yang berlaku beberapa hari lepas, menerpa kembali di benak fikiran.

Dua orang kampung disahkan terkena penyakit kolera.

Disyaki mereka berdua dijangkiti bakteria Vibrio Cholerae hingga menyebabkan cirit-birit akibat meminum air sungai yang mungkin tercemar dengan najis atau muntah orang yang dijangkiti bakteria.

Sekarang, mereka berdua masih menerima rawatan di hospital.

Sesungguhnya, orang kampung tahu risiko kepada kesihatan akibat meminum air sungai yang belum tentu selamat.

Namun, mereka terpaksa melakukannya. Jiran sebelah rumah pernah mengadu.

Mereka tidak mampu membeli air mineral atau air dalam botol di pekan yang kosnya mencecah RM200 sekali beli untuk kegunaan seminggu.

Anak-beranak ramai dan belum lagi dicampur dengan perbelanjaan harian dan persekolahan.

Kemiskinan masih membelenggu penduduk kampung ini.

Banyak kali pengumuman demi pengumuman dibuat, namun keadaan di sini masih sama.

JANJI MANIS

Muak menonton pengumuman dan janji yang diucapkan di televisyen. Hanya cantik di permukaan, namun koyak rabak di bawah.

Sebaiknya, ajar mereka bagaimana cara memancing ikan bukan memberi mereka ikan.

Ikan dimakan sekali, esoknya tiada lagi.

Begitulah kitaran hidup rakyat di kampung ini. Kami sudah penat. Penat kami ini tiada ubat dan telah menjelma menjadi kemarahan.

Suara tangisan bayi kedengaran jelas dan nyaring daripada rumah jiran sebelah.

Agaknya tidak tahan dengan cuaca panas.

Selalunya, hujan suka turun melanda kampung pada waktu petang.

Siang hari jarang hujan.

Mendung itu sudah biasa.

Kelihatan sekumpulan orang kampung berbondongbondong ke sungai dengan membawa tuala, baldi dan bakul pakaian masing-masing.

Aku bersyukur kerana rumah kami punya tangki air yang menakung air hujan sebagai air mandian.

Tetapi, kami juga harus berjimat cermat menggunakan air kerana tidak lama lagi musim kemarau akan menjelang tiba.

Aku sebenarnya sedang menunggu kedatangan seseorang.

Teman semenjak kecil.

Semalam dia berjanji datang.

Ada hal yang ingin dibincangkan.

Sudah 15 minit aku menanti di sini, bayang dia tidak nampak lagi.

Aku memutuskan menelefon dia.

Temanku tidak menjawab panggilan telefon.

Aku mencuba beberapa kali, namun masih juga tiada sesiapa yang menjawab panggilan.

Rasa gelisah mulai menyerang kantung hati.

Aku risau teman aku itu nekad dengan hal yang dia katakan semalam.

Setelah gagal menghubungi temanku, aku memutuskan menelefon bapanya yang kebetulan nombor telefonnya ada aku simpan di dalam telefon bimbit.

Aku menyangka, teman baik aku itu belum bangun tidur atau sakit demam.

Sebaliknya, ayah temanku memberitahu bahawa temanku belum pulang ke rumah petang semalam.

Dia mengira anaknya itu tidur di rumahku kerana kebiasaannya akan begitu.

Aku bingkas bangun daripada pangkin.

Detak degup jantung kencang.

Nafas menjadi turun naik dengan pantas.

Aku kini diselimuti kerisauan yang dahsyat.

Tidak senang duduk dibuatnya.

Ayah temanku akan segera melaporkan kehilangan anaknya kepada ketua kaum.

Oleh itu, aku memutuskan untuk menyusul dia.

Dengan pantas aku meluru laju ke rumah, mengambil kunci motosikal dan dengan tangkas menghidupkan enjin motosikal untuk segera menuju rumah ketua kaum.

Sebaik sahaja tiba di depan rumah ketua kaum, aku dapat melihat kelibat ayah temanku yang termangu dan seperti kucing kehilangan anak.

Wajahnya penuh kebimbangan dan sugul.

Aku mematikan enjin motosikal dan meletakkan motosikal di tepi rumah ketua kaum.

“Anak aku hilang!” getus ayah temanku dengan deraian air mata.

Tangisan pula kedengaran jelas mengitari sekitar rumah ketua kaum.

Ketua kaum yang pada waktu itu berada di dalam rumah, meluru keluar mendengar ledakan esakan tangisan “Apa yang berlaku?” “Anak aku hilang!” ulang ayah temanku.

“Bila dia hilang?” “Sejak petang semalam belum pulang ke rumah”.

Aku menerangkan kepada ketua kaum bahawa temanku tidak tidur di rumahku semalam.

Aku menemui dia pada waktu pagi sahaja.

Temanku ada mengatakan dia ada kerja yang ingin dilakukan pada waktu petang.

Namun, aku tidak bersetuju dia melakukan pekerjaan itu seorang diri.

Turut kelihatan beberapa penduduk kampung datang mengerumuni kami bertiga yang dihujani seribu persoalan berkaitan kehilangan temanku di depan rumah ketua kaum.

“Pekerjaan apa?” Ketua kaum melontarkan pertanyaan kepadaku.

Semalam, temanku berkongsi kebimbangan dan kerisauan berkaitan tahap kesihatan penduduk kampung yang bergantung kepada air sungai.

Sudah seminggu kampung tidak menerima air bersih yang disalurkan daripada empangan air yang dibina oleh penduduk kampung secara bergotongroyong di atas bukit belakang kampung.

Temanku terasakan bahawa mungkin terdapat daun-daun kering atau lumpur yang telah menyumbat mulut paip hingga menyebabkan kampung terputus bekalan air bersih.

Musim kemarau belum menjengah tiba.

Hujan pula sering.

Tiba-tiba, tiada air yang keluar dari paip.

Yang keluar hanya angin.

Empangan itu menadah air jernih daripada sumber air terjun yang mengalir deras dari puncak bukit yang tiada sebarang aktiviti pertanian.

“Dia mahu memeriksa keadaan di empangan air.

Saya sudah menasihati dia supaya tidak bertindak melulu.

Hal itu boleh kita semua lakukan bersama”.

“Ketua kaum, semalam saya melihat teman dia berjalan menyelusuri denai ke empangan air sana,” sampuk seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an yang tiba- tiba muncul dalam perbincangan kami.

MENJUAL NYAWA KEPADA AIR SUNGAI

Jadi temanku betul-betul mengotakan kata.

Dia sudah tidak tahan hati melihat penderitaan masyarakat kampung. Temanku sungguh berhati mulia dan waja.

Dia sudah berkali-kali merayu ketua kaum supaya segera mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan empangan air.

Tetapi, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Berat sekali bagi ketua kaum mengatur langkah untuk menyelamatkan penduduk kampung daripada terus menjadi korban penyakit taun.

Kemungkinan ketua kaum tidak mendengar berita bahawa sekarang di negara Somalia tengah diserang penyakit kolera seperti dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Orang tua itu menjadi tuli dan buta.

Jangan cakap dia ada menerima sogokan wang untuk mendiamkan diri tentang kesusahan rakyat yang setiap hari menjual nyawa kepada air sungai.

Aku tahu ada orang mereka cerita dan menyebarkan khabar angin menunjukkan hutan Rimu itu berpuaka.

“Berani sungguh dia pergi ke hutan itu.

Tidak sedarkah bahawa di hutan Rimu sana sudah ada harimau. Harimau suka menyerang manusia.

Hutan itu berpuaka,” pekik lelaki berambut kerinting pendek yang sangat kukenali.

Dia Pak Kodam.

Semua penduduk kampung membisu apabila Pak Kodam menyebut harimau dan puaka.

Semacam mereka sudah mendengarkan perkara itu.

Mereka langsung tidak terkejut. Ini bermaksud Pak Kodam sudah menjaja cerita rekaannya kepada penduduk kampung sehingga percaya bulat-bulat.

“Kami takut ke empangan air.

Takut kepada harimau dan puaka.

Kami sanggup minum air sungai daripada dimakan harimau,” tutur salah seorang penduduk kampung.

Beberapa yang lain mengangguk kepala tanda setuju.

Aku hanya mampu menggelengkan kepala.

Nampaknya mereka semua lebih takut kepada harimau dan hantu daripada penyakit berbahaya.

Sungguh licik Pak Kodam menyucuk jarum halus ke dalam pemikiran masyarakat di sini.

Penduduk kampung hanya mengikut secara membabi buta yang berlawanan dengan peneguhan positif oleh teori pelaziman operan Skinner.

Jauh di sudut hati, aku merasakan Pak Kodam sedang merancang sesuatu yang jahat.

Minggu lepas aku pernah mendengar khabar yang Pak Kodam ke hulur dan hilir membawa beg hitam memasuki setiap rumah penduduk.

Usaha memujuk rayu penduduk kampung supaya bersetuju dengan tindakan yang akan diambil.

Tetapi, temanku pernah bilang bahawa dia berusaha mendapatkan tandatangan orang kampung supaya menyerah dan sekali gus menjual tanah bukit kepada tauke resort yang terkenal dari Kuching untuk dijadikan destinasi pelancongan.

Aku pasti niat mereka hanya mahu menguasai kawasan air terjun yang popular itu.

Andai sahaja kawasan air terjun itu dibangunkan, pasti berlipat kali ganda keuntungan yang bakal dijana.

Orang kampung hanya mampu berputih mata.

JANJI KOSONG

Untuk mendapatkan tandatangan pada surat memorandum penyerahan tersebut, Pak Kodam berjanji bekerjasama dengan ketua kaum memohon sambungan bekalan air bersih daripada Yang Berhormat.

Semua orang boleh menjaja janji bulan dan bintang, tetapi, untuk menunaikan suatu janji seperti menunggu ayam jantan bertelur.

Belum tentu yang dijanjikan akan ditunaikan lebih-lebih lagi janji yang terungkap dan dihasilkan daripada air liur manusia yang bertopeng.

Akan tetapi, ada sebilangan penduduk kampung yang tidak bersetuju.

Mereka khuatir ayam terlepas, tangan bau tahi.

Maka, untuk meyakinkan penduduk kampung,

Pak Kodam membuat cerita kononnya ada penampakan harimau di sekitar kawasan empangan air dan kelibat hantu.

Aku yakin foto yang ditunjukkan kepada penduduk kampung adalah palsu dan diedit dengan teknologi canggih – AI.

Orang kampung boleh dia gula-gulakan.

Bukan aku. “Bagaimana dengan anak saya?” ayah temanku bersuara.

Rasa panik masih membara.

Dia semakin diburu rasa menggelabah. Malangnya, tiada seorang pun penduduk kampung, termasuk ketua kaum menjawab.

Mereka semua berdiam diri.

Tidak berani menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Mereka lebih takut kepada harimau berbanding nyawa manusia.

Di manakah rasa belas kasihan dan simpati mereka?

Pak Kodam terlihat menguntum senyuman.

Jika terus menerus begini, misi dia menjadi broker tanah pasti berjaya.

Segala habuan sudah bermunculan di dalam kotak fikiran seperti dia dapat melihat kelibat duit yang melayah turun dari langit.

“Kita akan buat laporan polis dan memohon bantuan untuk operasi mencari dan menyelamat daripada pihak berkuasa,” tegasku tanpa memandang kiri dan kanan.

Pak Kodam mendiamkan diri lalu segera berundur meninggalkan kami.

Sekiranya temanku dijumpai, maka dia akan dituduh sebagai penyebar berita palsu.

Misi mencari perikemanusiaan, yang hilang di hutan akan segera dijalankan.

“Temanku yang bernama perikemanusiaan, kami akan segera mencari dan menyelamatkanmu”

BERITA LAIN

Matinya presiden kami!

Seluruh jelata Asmaraloka dikejutkan dengan khabar liar yang berhembus sejak semalam itu. Semacam tidak percaya, rasanya baru seminggu lepas presiden mereka itu mendapat tepukan dan

Sanggar Puisi

HARUMAN RAMADAN Hirupan mewangi akrab bersama alunan suci Rempah taqwa membalut diri Ujian menahan nafsu Sepurnama Ramadan hadir Maghfirah diburu insani Mawaddah iqra itulah penyeri

Nukilan Effa Raifana

EFFA RAIFANA. Nama sebenar beliau ialah Nur Raifana Abdullah @ Deborra Michael. Kelahiran daerah Dalat, Sarawak. Berkhidmat di Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak. Bergiat aktif

Kilau Ramadan

Saat siang datang mewarnai kelaparan Betapa kemiskinan kian tumbuh di ladang Kilau ramadan menyamar lentik kehampaan Haus dan lapar mendayung saling menghayati setelah siang menuntut

Oyeng dan lelaki berwajah Bonoba

AWANG JOHARI JULAIHI menggunakan nama pena: Johari A. Julaihi, berasal dari Simunjan dan menetap di Kota Samarahan, Sarawak. Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian

Puasa Pertama Aariqin

AIRUL AFFENDI ALI “Ayah, betul ke kalau tak puasa, tak boleh raya?. Soal Aariqin dengan dahi berkerut sambil matanya mulai mendung. Aku tersenyum. Buku yang

BERITA TERBARU

Rumah musnah terbakar, penghuni selamat

MIRI: Sebuah rumah di Kampung Pa Umor, Bario milik Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, musnah dalam insiden

Enam kereta terbakar akibat pembakaran terbuka

LIMBANG: Enam buah kereta di luar bengkel di Jalan Taman Desa Babahanan di sini musnah dalam satu kebakaran disebabkan pembakaran terbuka longgokan kayu berhampiran. Jurucakap

Saingan harga tiket penerbangan ke Sarawak

KUCHING: Pengumuman syarikat penerbangan milik Sarawak yang dijangka beroperasi pada tahun hadapan diharap dapat menurunkan harga tiket kepada anak Sarawak. Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman