Mental Kuching FA harus kuat

JURULATIH Kuching FA, Ideris Untong memberi pesanan kepada anak-anak buahnya bahawa mental harus kuat bagi mengharungi ‘arus’ Liga Premier 2020 yang menjanjikan saingan yang lebih sukar.

Katanya, ia bukan Liga M3 yang ditempuhi sepanjang musim lalu, sebaliknya Liga Premier yang menghimpunkan sebahagian besar pasukan serba kental yang dibarisi tenaga import asing berkaliber.

“Persiapan bukan hanya dari segik taktikal, tetapi juga mental.

“Kami akui ia adalah cabaran sukar, namun apa yang pasti kami turun dengan misi kemenangan,” jelas Ideris.

“Oleh itu, kita berharap ramai penyokong datang ke Stadium Sarawak. Kami amat memerlukan sokongan anda semua,” ujarnya.

Menurut Ideris, UKM bukanlah calang-calang pasukan, kerana mereka telah membuktikan musim lalu, sebagai antara pencabar Liga Premier.

“Saya percaya kedua-dua pasukan menjanjikan perlawanan yang menarik,” ujarnya.

Persiapan Kuching FA sedikit terjejas setelah penyerang utamanya, Leonardo Alves ditimpa kecederaan lama (lutut) ketika aksi persahabatan pramusim di Semenanjung baru-baru ini.

Malah kemungkinan besar beliau tidak akan daat beraksi sepanjang musim ini.

Tanpa Alves, mereka menaruh harapan tinggi terhadap seorang lagi penyerang, Hudson Dias, bekas penyerang Sarawak 2019.

Pemain tinggi lampai dari Brazil itu bakal digandingkan dengan pemain tempatan bagi membentuk jentera serangan.

Suara Sarawak