TIDAK ramai yang tahu bahawa beliau pernah secara terbuka, menjemput Presiden Soekarno datang ke Sarawak, ketika kemuncak Kempen Ganyang Malaysia.
Malah dalam ucapan yang diadakan sempena kunjungan bekas Rajah Muda Sarawak, Anthony Brooke ke Song pada 3 Mei 1965 itu, Tun Jugah anak Barieng dikatakan menjamin akan keselamatan Presiden Indonesia itu, namun mencabar beliau untuk bertarung satu lawan satu, kemudiannya.
“Soekarno berumur 63 tahun dan saya 62 tahun. Jika beliau cukup berani, maklumkan kepada beliau yang saya cabar untuk bertarung, pilih di mana… laut atau darat,” katanya.
Hasrat itu bagaimanapun tidak kesampaian kerana pada 11 Ogos 1966, konfrontasi yang berlangsung selama tiga tahun dan sembilan bulan telah berakhir. Jugah ketika cabaran itu merupakan seorang menteri penuh Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sarawak. Konfrontasi tersebut telah mengorbankan 114 anggota tentera bagi pihak Malaysia, sama ada tentera Malaysia, Gurkha dan Inggeris.
Pada masa yang sama dianggarkan 600 perajurit Indonesia turut hilang nyawa. Menariknya, walaupun bertaraf menteri dan dinasihatkan untuk mengelak berada di kawasan sempadan, beliau sentiasa memilih untuk bersama-sama anggota tentera negara di perbatasan.
Apatah lagi di kawasan Kapit, yang menjadi padang permainannya sejak kecil.
Jugah begitu marah dan mahu perang sia-sia itu ditamatkan segera. Kerana itulah beliau sentiasa berada dalam rombongan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan Tun Abdul Razak Hussein ketika proses rundingan damai berlangsung pada Februari 1964 di Bangkok dan 29 Jun 1964 di Tokyo.
Namun jasa besar Jugah adalah terhadap pembentukan negara Malaysia. Justeru tidak hairanlah pentadbir British yang terakhir di Sarawak, Datuk G.A.T. Shaw berkata, jika tidak kerana persetujuan Jugah, Malaysia tidak akan dapat ditubuhkan.
Jugah lahir pada 1903 di Ulu Kapit. Bapanya Barieng ak Gawing manakala ibunya, Menti ak Melintang.
Pada usianya 15 tahun, beliau mengahwini seorang gadis bernama Sindong dan bercerai enam bulan kemudian.
Kemudian ketika “bejalai” di Uma Pawa, Ulu Belaga, beliau mengahwini gadis Kenyah bernama Aran, namun jodoh mereka juga tidak bertahan. Selepas menjawat jawatan penghulu, beliau mengahwini seorang wanita Iban bernama Jumau dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Basi, sebelum hubungan mereka berakhir.
Hanya pada tahun 1930-an, Jugah berkahwin dengan Tiong Aping, gadis yang 12 tahun lebih muda daripadanya dan mereka memperoleh dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Jugah seorang yang buta huruf dan tidak pernah bersekolah. Namun beliau seorang yang bijak dan dikesan memiliki kemahiran memimpin sejak muda.
Beliau dilantik sebagai penghulu pada 1 Januari 1928, ketika berusia 25 tahun, bagi menggantikan datuknya, Penghulu Melintang yang meninggal dunia pada penghujung November 1924.
Pada asalnya beliau dilantik pada 1 Jun 1927 sebagai “mata-mata” atau penolong penghulu, namun atas nasihat neneknya (isteri Melintang), beliau cuba menolak dengan tidak hadir ke pejabat pentadbiran Brooke ke Pekan Kapit.
Namun beliau tidak sedar bahawa pelantikan tersebut tetap berlaku dan beliau tidak dapat menolaknya, apatah lagi setelah mendapat gaji yang agak lumayan ketika itu.
Bakat kepimpinan Jugah terserlah pada waktu ini, kerana sifatnya yang berpandangan jauh. Beliau mencadangkan pembinaan sekolah di kawasan itu (yang diusahakan menerusi misi mubaligh Kristian).
Dan untuk itu, beliau bersama-sama Temenggung Koh pada 24 Disember 1949, menjadi antara Iban terawal di kawasan Kapit dibaptiskan Kristian, biarpun masih percaya kepada kepercayaan tradisi.
Jugah dilantik sebagai pengarah pada 1 Januari 1955 dan 8 Februari tahun yang sama, dilantik sebagai Temenggong Iban bagi kawasan Bahagian Ketiga — menggantikan Temenggung Koh, idolanya.
Ia merupakan tanggungjawab yang besar baginya, apatah lagi sebelum itu, pada 1952, beliau telah dilantik untuk menganggotai Council Negri. Pada 1954, Majlis Daerah Kapit ditubuhkan bagi menggantikan kerajaan tempatan dan Jugah dilantik menjadi pengerusi kepada 22 ahli majlis ketika itu.
Keberanian dan kematangan beliau menarik perhatian pentadbiran British, sekali gus menjulang namanya sebagai wakil kepada komuniti Iban di negeri ini. Ketika Parti Negara Sarawak atau PANAS ditubuhkan oleh Datuk Bandar Abang Mostapha pada 9 April 1960, beliau telah dipelawa untuk menyertai parti tersebut. Beliau menerimanya.
Pun begitu, setelah itu, apabila parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) ditubuhkan oleh Francis Umpau dan Temenggong Banyang, Jugah terpaksa meminta izin Abang Mostapha untuk berundur kerana beliau akan dilantik menjadi presiden parti itu.
Sebagai Presiden PESAKA dan juga Ketua Masyarakat Iban di Bahagian Ketiga, Jugah dilihat memainkan peranan penting dalam penubuhan Malaysia.
Beliau terlibat dalam hampir kesemua rundingan, termasuk menandatangani perjanjian Malaysia di London bersama-sama Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.
Pada asalnya beliau menolak untuk bersetuju ketika dibentangkan cadangan penubuhan negara baharu itu, tetapi setelah berbincang dengan ketua-ketua masyarakat di Kapit, pendirian beliau berubah. Jugah kemudian menjadi antara watak utama kepada penubuhan Malaysia, kerana pilihan lain yang ada pada waktu itu adalah bersama Indonesia, yang ketika itu dikaitkan dengan komunisme.
Pada Julai 1962, PESAKA dan SNAP bersetuju untuk mewujudkan Perikatan Sarawak yang turut melibatkan PANAS dan BARJASA, selain SCA. Jugah dilantik sebagai Pengerusinya dan Stephen Kalong Ningkan sebagai Setiausaha Agung.
Dan ketika pilihan raya majlis daerah diadakan, mereka menang besar. Mengikut perancangan asalnya, Jugah akan dilantik sebagai Yang diPertua Negeri atau Gabenor, manakala Kalong Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri.
Namun ketika berbincang untuk penubuhan kerajaan bersama Kerajaan Perikatan di Kuala Lumpur, mereka dinasihatkan agar pelantikan Gabenor haruslah seorang Islam, jika Ketua Menteri seorang yang bukan Islam.
Pada perancangan politik Kuala Lumpur ketika itu, mereka mengharapkan Jugah dilantik sebagai Gabenor dan Abdul Rahman Yaakub dilantik sebagai Ketua Menteri.
Namun Abdul Rahman kalah dalam Pilihan Raya Majlis Daerah. Akhirnya, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj meminta Jugah untuk memilih siapa dalam kalangan calon “yang ada” untuk dilantik sebagai Gabenor, dan beliau memilih Datuk Abang Openg Abang Sapiee seorang rakan karib yang turut bersamanya menandatangani Perjanjian Malaysia.
Jugah atau Apai sendiri tidak ralat. Beliau dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Sarawak yang pertama, jawatan yang dipegangnya agak lama, hingga Ogos 1974, apabila beliau mengumumkan untuk bersara.
Dan beliau memainkan peranan yang cukup aktif ketika itu, untuk mewakili Sarawak dan mendesak hak Sarawak dipertahankan.
Kerana itu beliau cukup dihormati dan pesanannya, agar “Malaysia tidak menjadi seperti tebu, manis di pangkal, tawar di hujung “ sentiasa menjadi ingatan hingga kini. Lelaki ini meninggal dunia pada 8 Julai 1981 kerana barah dan tidak sempat menerima gelaran tertinggi negara Tun yang diperoleh selepas kematiannya.
Namun beliau menitip iktibar kepada kita, bahawa menjadi pemimpin yang hebat tidak seharusnya memiliki pendidikan setinggi langit.
Tetapi kemampuan untuk mendengar, memberi reaksi, fokus dan ikhlas dalam apa-apa sahaja yang dilakukan, dan elak memungkiri janji.
Telah 42 tahun Tun Jugah pergi meninggalkan kita, namun auranya masih dapat dirasai generasi kini, sebagai seorang individu penting yang menubuhkan negara bernama Malaysia.
