SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Singapura, merangkap Menteri Bertanggungjawab Bagi Hubungan Perdagangan republik itu S.Iswaran, akan melakukan lawatan rasmi ke Malaysia hingga hari ini, bagi menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’23).
Kementerian Pengangkutan Singapura dalam kenyataan semalam berkata Iswaran juga akan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri pengangkutan, termasuk Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke dalam lawatannya.
Pemeran LIMA merupakan pameran maritim dan aeroangkasa yang diadakan secara dwitahunan di Langkawi, Malaysia.
Setelah kali terakhir diadakan empat tahun lepas, LIMA ‘23 kembali mencuri tumpuan dengan edisi ke-16 melibatkan kira-kira 1,200 syarikat dari dalam dan luar negara pada pameran berkenaan, sekali gus menjadikan acara kali ini yang terbesar pernah diadakan.
Semasa lawatannya juga Iswaran akan menghadiri majlis perasmian LIMA’23 dan jamuan makan tengah hari rasmi sempena pameran berkenaan.
Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai daripada Kementerian Pengangkutan Singapura, menurut kenyataan itu. – BERNAMA