ULAT MULONG atau lebih dikenali sebagai si’et dalam masyarakat Melanau merupakan sejenis ulat yang hidup di dalam batang pokok rumbia.
Si’et juga merupakan salah satu makanan eksotik masyarakat Melanau di Mukah.
Ia sangat digemari oleh kebanyakan masyarakat Melanau, tetapi kini agak sukar menjumpai si’et dijual di pasaran kerana tidak ramai ke hutan mencarinya lagi.
Disebabkan permintaan orang ramai terhadap si’et masih tinggi, Nicholas Oss, 48, mengambil inisiatif menternak si’et di rumahnya atas nama Mukah Siet Farm.
“Pada Januari 2021, saya mencuba dalam kuantiti sedikit sahaja dan pada pertengahan tahun itu juga, saya mewujudkan tempat untuk tujuan penternakannya.
“Disebabkan ramai penggemar si’et dan selalu mendengar ramai yang sukar membelinya di pasaran, saya membesarkan tempat penternakannya di Mukah Siet Farm – satu-satunya penternakan ulat mulong di Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak.
Nicholas mengatakan menternak si’et kerana mahu mencuba sesuatu baharu.
“Walaupun Mukah mempunyai banyak rumbia, tidak semua masyarakat di sini ke hutan mendapatkan si’et.
“Disebabkan itu, si’et yang dijual di pasaran laris dan kebanyakan penduduk luar Mukah sukar mendapatkannya.
“Sejak membuat penternakan si’et ini, pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penduduk Mukah, malah dari luar Mukah seperti Miri, Bintulu, Sibu, Kapit, Sri Aman dan Kuching,” ujarnya.
Justeru, disebabkan permintaan tinggi, penghantaran ke luar Mukah harus menggunakan perkhidmatan bas mengikut permintaan pelanggan.
“Biasanya, pelanggan meminta si’et dalam keadaan hidup dan ada juga yang meminta si’et dibekukan.
“Si’et beku boleh dihantar menggunakan bekas plastik, manakala bagi si’et hidup diletakkan serpihan rumbia di dalam bekas plastik lebih besar untuk dijadikan makanan si’et sepanjang perjalanan ke destinasi dituju.
“Walaupun terdapat serpihan rumbia sebagai makanan sepanjang perjalanan, ada si’et yang mati kerana tidak tahan keadaan panas, tetapi kebanyakannya hidup,” jelasnya.
Dedahnya, penternakan si’et ini tiada kaitan dengan sebarang kepercayaan dan adat.
Malah, semua pihak berhak menternak si’et selagi berminat.
“Siet bukan saja untuk dimakan, ia juga dijadikan makanan diproses dan sebagai ubat-ubatan.
Cara menyediakan si’et biasanya dipanggang atau mengikut selera masing-masing.
Menjadi penternak si’et pertama di Sarawak, sudah tentu ada cabarannya.
Nicholas mengakui cabaran dihadapinya berkaitan dengan harga barang semakin meningkat pada masa kini.
“Harga barang memang mempengaruhi penternakan lebih-lebih lagi harga barang kini semakin mahal.
“Bukan itu saja, bekalan rumbia parut untuk tujuan penternakan pun agak sukar didapati.
“Tapi, makanan untuk si’et mudah didapati kerana menggunakan rumbia saja dan rasanya lebih asli berbanding makanan lain,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, dia mendedahkan masa menunggu benih hingga menuai memakan masa sekitar 45 hingga 50 hari.
Tambahnya lagi, Mukah Siet Farm menjual sekilogram si’et pada harga RM55 berbanding harga di pasaran yang boleh mencecah RM70 hingga RM80 sekilogram.
Dia juga berharap dapat meluaskan perniagaan penternakan si’et.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut ternakan si’et oleh Nicholas, boleh melayari Facebook Mukah Siet Farm.