Trending

Menu Rahmah sihat, seimbang

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SEMUA orang sedia maklum, makanan adalah keperluan asas dalam kehidupan manusia selain air, tempat tinggal dan sebagainya.

Persoalannya sekarang, apa makanan sihat dan seimbang?

Setiap orang ada perspektif tersendiri dalam menjelaskan tentang makanan sihat.

Ini kerana ada sesetengah makanan tidak dapat diambil kerana individu itu ada masalah kesihatan, alahan atau tidak suka hidangan yang ditawarkan.

Tetapi yang pasti, makanan sihat dan seimbang perlu mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam galian pada kadar yang betul.

Dan, sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar atau membaca mengenai Menu Rahman.

Menu Rahmah ialah makanan tengah hari atau malam yang seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan pada harga RM5 sepinggan atau kurang.

Seperti yang dikatakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, kementeriannya tidak menghalang mana-mana pihak menggunakan jenama Menu Rahmah asalkan ia memberi kebaikan kepada rakyat yang memerlukan serta mematuhi peraturan kerajaan.

Ya, Menu Rahmah ini ditawarkan pada harga RM5 sepinggan, bagaimanapun ada juga peniaga menawarkannya serendah RM4.

Apa-apa pun, membeli satu pinggan Menu Rahmah itu sangat besar maknanya kepada sesetengah rakyat yang kurang berkemampuan, bahkan kepada sesiapa sahaja.

Berpeluang menikmati makanan yang murah dan sedap adalah satu kepuasaan! Baru-baru ini, perkongsian seorang netizen mengenai satu hidangan menjadi tular dalam media sosial apabila dia menyatakan Menu Rahmah yang ditawarkan di sebuah restoran makanan segera terkenal di negara kita dikatakan agak menyedihkan dan kecil.

Perkongsian nitizen ini mendapat pelbagai respons daripada warga maya. Harus kita ingat bahawa Menu Rahmah ini inisiatif sukarela.

Kerajaan tidak menentukan harga, kaedah pelaksanaan, bahan-bahan serta lauk yang ditawarkan.

Melihat kepada rungutan pelanggan itu, siapakah yang harus kita persalahkan?

Sebelum itu, seorang netizen gembira apabila restoran makanan segera itu menawarkan Menu Rahman.

Selepas ini katanya, dia dapat menjimatkan wang perbelanjaan kerana dapat menikmati hidangan terkenal dari restoran makanan segera itu pada harga RM5.

Meskipun Menu Rahmah mendapat sambutan hangat daripada segenap lapisan masyarakat khususnya kepada warga kota serta individu yang terpaksa berbelanja di luar akibat kekangan masa, ada yang mendakwa Menu Rahmah tidak murah seperti yang dianggap.

Menurut Timbalan Dekan (Siswazah) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Hizam Hanafiah, murah dan mampu itu mengikut pandangan masingmasing.

Katanya, bagi golongan berada, ia dianggap murah kerana mereka sanggup meminum secawan kopi berjenama dengan harga belasan ringgit.

Bagi golongan pertengahan, ia mungkin dianggap mampu, bagi golongan bawahan pula ia dianggap tidak murah.

Manakala bagi golongan sasar pula, menu ia dianggap mampu dibayar, bukan murah.

Tetapi jika keluarga yang ramai makan Menu Rahmah, katanya, ia tidaklah murah.

Melihat ulasan beliau, yang didedahkan memang logik kerana peningkatan harga barangan ketika ini secara langsung akan mempengaruhi kuasa beli isi rumah terutama melibatkan golongan B40 serta sebahagian kelompok M40.

Jika tidak bijak mengawal perbelanjaan harian, wang dalam tangan akan mengalir seperti air.

Situasi ini akan dihadapi oleh setiap orang sama ada dia bergaji beribu-ribu ringgit sebulan atau sebaliknya.

Program Menu Rahmah yang dilancarkan pada 31 Januari lalu menyasarkan keperluan makanan harian bagi golongan berpendapatan rendah.

Program pemakanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) ini dilancarkan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Mydin Malaysia merupakan pusat beli-belah pertama yang membawakan Menu Rahmah untuk semua pelanggannya.

Dengan harga serendah RM4.90, anda berpeluang untuk menikmati hidangan lengkap pada waktu tengah hari atau malam!

Jadi, siapa sangka setakat ini, sebanyak 1,531 premis perniagaan mendaftar dalam melaksanakan Inisiatif Menu Rahmah di seluruh negara dan bilangan itu dijangka terus meningkat.

Data itu dikongsikan oleh Salahuddin Ayub dan menurutnya, maklum balas daripada peniaga yang menyertai inisiatif itu, Menu Rahmah dijadikan model perniagaan dan daya penarik pelanggan untuk datang ke premis mereka.

Kesimpulannya, kita harus akui dalam keadaan ekonomi hari ini, Menu Rahmah memang murah bagi satu set makanan yang lengkap yang merangkumi nasi, satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran.

Sama ada individu itu golongan berada atau tidak, Menu Rahmah boleh dinikmati oleh semua.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Misi capai sifar karbon

SARAWAK mengutamakan pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar,

Buli haiwan sangat kejam

SEBELUM ini, ada cadangan penubuhan agensi Polis Haiwan bagi menangani kes berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru