Menyamar jadi penumpang sebelum keluar saman

SERIAN: Anggota JPJ di Sarawak akan menumpukan penguatkuasaan dengan menyamar sebagai penumpang kenderaan pengangkutan awam sepanjang Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2020 bermula hari ini hingga 2 Februari depan.

Pengarahnya Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, anggota yang menyamar akan merakamkan gambar dan merekodkan kesalahan dilakukan pemandu kenderaan terbabit sepanjang perjalanan.

“Sampai sahaja di destinasi mereka akan mengeluarkan saman kepada pemandu kenderaan pengangkutan awam.

“Kita tidak mahu mengeluarkan saman terbabit di tengah-tengah perjalanan kerana bimbang keadaan jadi huru-hara,” katanya selepas melancarkan Ops TBC 2020 Peringkat JPJ Sarawak di Stesen Penguatkuasaan Serian, di
sini, semalam.

Mohd Syafiq tidak mendedahkan jumlah anggota JPJ terbabit dalam penguatkuasaan itu tetapi pihaknya akan menggerakkan anggota jabatan itu di Kuching, Sibu dan Miri bagi melakukannya.

“Setiap perjalanan ada seramai dua anggota JPJ menyamar dalam bas sehinggalah mereka sampai ke destinasi,”katanya.

Selain itu, mereka juga akan menumpukan penguatkuasaan sepanjang Ops TBC 2020 dengan melakukan pemeriksaan kenderaan di terminal bas dan menjalankan rondaan sepanjang laluan Pan Borneo dari Kuching sehingga Limbang.

Di samping itu, Sarawak juga melaksanakan larangan lori tertentu berada di atas jalan raya seperti di Semenanjung ketika Ops TBC 2020 – dua hari sebelum perayaan dari 23 sehingga 24 Januari depan dan dua hari selepas perayaan
dari 27 hingga 28 Januari depan.

“Tapi kita jangka pergerakan lalu lintas macam biasa. Sebab tidak banyak lori beroperasi hari biasa tidak seperti musim perayaan. Cuma kita di Sarawak tertakluk arahan penyeragaman dari pusat,”katanya.

Persatuan lori tempatan juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Katanya pada Ops TBS di Sarawak tahun lepas, keseluruhan sebanyak 13,252 kenderaan diperiksa dan sebanyak 1, 493 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Manakala sepanjang 2019, keseluruhannya di Sarawak sebanyak 52,915 notis saman dikeluarkan dan 35,425 kenderaan diambil tindakan daripada 196,203 kenderaan diperiksa jabatan itu.

Mohd Syafiq juga mendedahkan kesalahan banyak dilakukan tahun lepas ialah membawa lebih muatan dengan sebanyak 2,352 kes, ubah suai cermin gelap (1,162 kes), ubah suai badan lori (856 kes), kes tali pinggang keledar hadapan (812 kes), muatan bahaya (802 kes), lampu HID (274 kes), langgar lampu merah (122 kes) dan tidak pakai topi keledar sebanyak 68 kes.

Suara Sarawak