Menyemak kesahihan maklumat

PENGGUNA media sosial sudah pasti menerima hantaran yang membincangkan vaksin Covid-19.

Mereka mempersoalkan bagaimana vaksin itu boleh dibangunkan dengan cepat?

Oleh itu, apakah vaksin itu selamat digunakan? Sekiranya anda termasuk dalam golongan ini, sila layari laman mycheck.my untuk mendapatkan maklumat sahih.

Sekiranya anda terus-terusan menerima maklumat tidak sahih tanpa berusaha untuk menyemaknya, anda akan terperangkap dengan maklumat salah.

Laman mycheck.my dalam Bahasa Melayu memudahkan sesiapa sahaja untuk menyemak maklumat yang diterima daripada media sosial, termasuk dari Facebook, WhatsApp dan sebagainya.

Apakah yang perlu anda lakukan untuk mengesahkan sesuatu maklumat tetapi tidak menjumpainya dalam mycheck.my?

Terdapat dua cara yang boleh anda lakukan. Pertama, menghantar maklumat dengan menggunakan borang semak fakta yang boleh dicapai di http://bit. ly/MyCheckFakta.

Keduanya, hantar mesej melalui Whatsapp/Telegram ke nombor +60108621755.

Laman mycheck.my merupakan inisiatif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sejak Mac 2020.

Namun laman ini beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2020.

Sebelum dilancarkan secara rasmi laman ini dikendalikan oleh tiga orang petugas; seorang editor dan dua orang penyemak fakta, iaitu Ali Imran, Erwan Othman, Suziy Che Mat.

Kini, Najmi Shah menyertai pasukan ini. Anda yang berminat untuk mengetahui latar belakang mereka ini, sila layari bahagian “pasukan kami” pada laman sesawang itu.

Sekiranya anda bekeperluan menghubungi pasukan ini, maka emel ke imran. mycheck@gmail.com. Mycheck.my menyemak setiap maklumat yang diterima sebelum diterbitkan.

Semua maklumat yang dimuat naik ke dalam laman sesawang ini disahkan melalui proses 10 peringkat; pemantauan sumber, senarai, klasifikasi, bincang awal, semakan awal, bincang penuh, semakan penuh, sunting, ulasan rakan sejawatan sebelum terbit sebagai fasa akhir.

Mycheck.my menggunakan empat kriteria penarafan bagi sesuatu laporan iaitu “Benar,” “Bercampur,” “Tidak Pasti” dan “Tidak Benar.” Penarafan “Benar” bererti “maklumat didapati benar ketika artikel dihasilkan berdasarkan sumber-sumber yang boleh dicapai secara umum.”

“Bercampur” pula bererti “maklumat bercampur antara fakta benar dengan tidak benar ketika artikel dihasilkan berdasarkan sumber-sumber yang boleh dicapai secara umum.”

“Tidak Pasti” ialah “maklumat tidak dapat dipastikan penarafannya ketika artikel dihasilkan berdasarkan sumber-sumber yang boleh dicapai secara umum.”

“Tidak benar” pula ialah “maklumat didapati tidak benar ketika artikel dihasilkan berdasarkan sumber-sumber yang boleh dicapai secara umum.”

Berbalik kepada soalan, apakah vaksin Pfizer selamat digunakan? Mycheck.my menerbitkan laporan bertajuk “Vaksin Covid-19 ‘Fast Track’?

Ya! Namun Dihasilkan Tanpa Meninggalkan Prosedur Wajib Yang Sepatutnya //

#SemakPantas.”

Membaca tajuk, anda sudah boleh memuat keputusan mahu membaca atau sebaliknya.

Dengan sekali klik, anda disuakan dengan laporan lengkap.

Untuk memudahkan orang ramai memahami dan membaca laporan dengan cepat, laman ini menggunakan format 5 lapis maklumat.

Setiap laporan bermula dengan tajuk. Tajuk yang terus kepada fakta penting.

Selepas itu ringkasan maklumat dalam dua kotak “Benarkah” dan “Hasil.” Ini diikuti klasifikasi salah satu daripada empat kriteria (meter kebenaran) dan “sekilas fakta” dalam bentuk poinpoin penting. Selepas mengklik tajuk tadi, anda akan disuakan dengan “meter kebenaran”.

Mycheck.my menarafkan maklumat dalam media sosial tentang vaksin Covid-19 sebagai bercampur.

Maknanya, maklumat yang ditularkan dalam media sosial mengandungi fakta benar dan tidak benar atau palsu.

Laporan ini diikuti dengan kotak “Benarkah….” Info menjelaskan “Benarkah Vaksin Covid-19 dibangunkan secara fast track dan tergesa-gesa menyebabkan risiko terhadap keselamatan penerima” sementara “Hasil” menjelaskan “Vaksin Covid-19 dapat dihasilkan dengan cepat kerana menggunakan platform sedia ada yang telah dibangunkan lebih sedekad lalu.”

Pasukan mycheck.my menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan fast track.

Fast track bukan bermaksud sambi lewa dengan menggunakan jalan pintas sehingga boleh menjejaskan keselamatan orang awam.

“Kurangnya proses birokrasi, penyediaan dana yang lebih serta teknologi canggih digunakan mendorong vaksin ini mampu dihasilkan lebih cepat berbanding vaksin-vaksin lain sebelum ini.

“Perkongsian data dan usaha tanpa henti oleh pakar-pakar perubatan seluruh dunia menjadikan tempoh satu tahun ini betul-betul digunakan dengan efisien bagi menghasilkan vaksin,” kata laman itu.

Laporan ini memberi latar belakang Covid-19 dengan pengesanan kes di negara ini melibatkan tiga warga China pada 25 Januari 2020.

Penularan tempatan dikesan pada 6 Februari 2020. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai wabak pada 10 Mac 2020.

Mycheck.my memetik laporan Sinar Harian pada 27 November lalu bahawa 6.4 juta rakyat bakal menerima vaksin ini tahun ini.

Kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat Pfizer-BioNTECH untuk mendapatkan bekalan vaksin. Laman sesawang ini turut menyenaraikan lima jenis vaksin daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 iaitu Pfizer (Amerika Syarikat), AstraZeneca (UK), SputnikV (Rusia) dan Sinovac dan CanSinoBIO (kedua-duanya dari China) yang dibangunkan.

Maklumat dalam media sosial mempersoalkan keberkesana vaksin baharu ini.

Maklumat ini mengelirukan dan disanggah oleh laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (KSM).

Proses penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawal rapi dengan semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta wajib mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Mycheck.my menjelaskan bahawa vaksin Covid-19 ialah kesinambungan kajian vaksin Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) seperti dalam portal informasi Universiti Putra Malaysia (UPM). Pakar Mikrobiologi Klinikal UPM, Profesor Dr Zamberi Sekawi tidak menafikan penghasilan sesuatu vaksin memang memakan masa antara tiga hingga lima tahun.

“Namun, keadaan berbeza dengan situasi Covid-19 yang sebenarnya telah dibuat uji kaji klinikal berdasarkan kajian penghasilan vaksin SARS yang tertangguh beberapa tahun lalu kerana penularan penyakit itu sudah dapat dikawal.

“Pendapat ini turut senada dengan apa yang dikongsikan oleh seorang doktor yang banyak membuat perkongsian melawan mitos berkaitan perubatan di laman Facebook Dr. Rusyainie Ramli,” kata mycheck.my.

Berdasarkan maklumat terkumpul, mycheck.my “mengklasifikasikan dakwaan ini sebagai ‘bercampur’ kerana memang benar vaksin disiapkan dengan segera namun dakwaan bahawa melangkaui prosedur keselamatan yang ditetapkan.”

Masih belum berpuas hati, layarilah mycheck.my untuk mengelakkan diri anda terjerat dengan berita palsu.

Dr Mus Chairil Samani ialah penganalisis media dan perunding penerbitan

Suara Sarawak