ARTIKEL

HEBAHAN… Meow Run For Autisme 2026 bakal diadakan pada 12 April 2026.

Meow Run For Autisme 2026 Kembali April 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Acara larian amal tahunan, ‘Meow Run For Autisme’ kembali dengan matlamat meningkatkan kesedaran dan penerimaan terhadap golongan autisme serta mengumpul dana bagi menyokong Persatuan Autistik Kuching (KAA).

Acara tersebut dijadualkan berlangsung pada 12 April 2026, bermula 6 pagi dengan lokasi permulaan adalah di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Penganjuran edisi 2026 mengekalkan objektif utamanya iaitu membantu individu autisme dan keluarga mereka melalui sokongan kewangan bagi memperkukuh pelaksanaan program terapi, pendidikan serta inisiatif jangkauan komuniti yang dikendalikan oleh KAA.

Pengerusi penganjur merangkap setiausaha KAA, Duane Reggie berkata, larian amal tersebut bukan sekadar acara sukan, malah menjadi platform penting dalam memupuk kefahaman serta sikap penerimaan masyarakat terhadap golongan tersebut.

“Setiap langkah yang diambil oleh peserta menyumbang kepada usaha mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif serta memberi sokongan berterusan kepada individu dalam spektrum autisme,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya, hasil kutipan daripada penganjuran acara itu akan disalurkan sepenuhnya kepada KAA bagi menampung keperluan operasi pusat yang mencecah lebih RM1.5 juta setahun dengan keperluan tambahan kira-kira RM800,000 selain yuran pelajar.

Jelasnya, KAA memerlukan sokongan berterusan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan terapi dan pendidikan khas yang disediakan kepada kanak-kanak serta orang dewasa autisme di Kuching.

Sehubungan itu, ‘Meow Run For Autisme’ 2026 terbuka untuk penyertaan semua peringkat umur dengan pilihan larian sejauh tiga kilometer dan lima kilometer, selain pelbagai aktiviti mesra keluarga yang diadakan sepanjang acara tersebut.

Selain acara larian, pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah, menikmati jamuan ringan serta mendapatkan maklumat berkaitan autisme melalui reruai pameran yang disediakan.

Penganjuran tahun hadapan turut diperluas dengan menjemput penyertaan individu berkeperluan khas lain, selaras dengan hasrat menjadikan acara tersebut lebih inklusif.

Sehubungan itu, individu berkeperluan khas digalakkan untuk mendaftar melalui persatuan atau pusat masing-masing bagi tujuan pendaftaran secara berkumpulan.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir, sumbangan masih boleh dibuat melalui penajaan peserta atau derma secara terus kepada Persatuan Autistik Kuching.

Maklumat lanjut pendaftaran dan peluang penajaan boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.kaa.org.my atau menghubungi Kimberly Sim di talian 010-268 6363 atau Leonitta di 011-1633 6863.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

6.49 gram dadah dirampas

KUCHING: Bisi 14 individu ditan ba bemacham penyalah bekaul dadah ba Op Tapis Khas ti dipejalai pengelama tiga hari ngelingi pelilih tu, ari 25 nyentuk

Bekunsi penemu herba enggau pakar

KUCHING: Peneleba ngadu dokumentasyen lebih 900 ramuan herba asal sereta marit 150 indu ba pengawa ngintu pesaka perubat jamu di Indonesia deka dikunsi nengah program