Meradong bertukar hijau, Kanowit kini status kuning

KUCHING: Daerah Meradong bertukar status daripada kuning kepada hijau hari ini setelah tiada kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Daerah Kanowit bertukar status daripada hijau kepada kuning setelah dua kes baharu Covid-19 dikesan melibatkan kes jangkitan tempatan.
“Daerah Kuching, Sibu dan Miri kekal berstatus merah dengan sejumlah 638 kes jangkitan tempatan dilaporkan di tiga daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas.
“Daerah Sebauh kekal berstatus jingga dengan 23 kes jangkitan tempatan, manakala Beluru, Dalat, Selangau, Sebauh, Samarahan, Sri Aman, Bukit Mabong, Bintulu, Lubok Antu dan Limbang kekal berstatus kuning,” katanya pada sidang media hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri dalam pada itu menambah bahawa masih terdapat 24 daerah di Sarawak kekal berstatus hijau.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya garis panduan (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bahagian Sibu akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak di dalam portal rasmi MKN
(http://www.mkn.gov.my).
“SOP ini berkuatkuasa di Bahagian Sibu pada tengah malam hari ini pada jam 12.01 pagi sehingga 29 Januari 2021
jam 11.59 malam,” jelasnya.