Merancak keusahawanan digital, jangan takut dalami ilmu dan kuasai kemahiran

PUSA: Usahawan luar bandar dituntut untuk mendalami ilmu dan menguasai kemahiran perniagaan secara atas talian dalam usaha merancakkan keusahawan digital di negeri ini termasuk kawasan luar bandar.

Jurucakap pengelola program eUsahawan Digital Kenyalang Achievers 2019: Rural Series Salim Sabian memberitahu, Kerajaan Sarawak melalui Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan dan e-Perdagangan Sarawak (MITEC) berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan atas talian.

“Badan serta agensi yang dilantik mahu mendedahkan usahawan muda kepada pemikiran inovatif dan kreatif serta berdaya saing dalam merancakkan lagi momentum keusahawanan di Sarawak.

“Selain meningkatkan ilmu pengetahuan dalam perniagaan dan kualiti jualan menggunakan kaedah terkini,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika ditanya selepas hadir program eUsahawan Digital Kenyalang Achievers 2019: Rural Series bagi Daerah Pusa yang berlangsung di Pusat Internet Kampung Kalok dekat sini, semalam.

Jelasnya, Pejabat Daerah Pusa selaku rakan kerjasama penganjuran turut berhasrat membantu para usahawan untuk meningkatkan produk masing-masing melalui perniagaan atas talian.

Kursus sehari itu dikendalikan oleh usahawan muda Mohd Bakri Aheng yang berkongsi tentang beberapa perkara terutamanya platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp sebagai alat perniagaan masa kini.

Ia meliputi aspek jenis-jenis terbitan, cara membuat iklan, kempen dan mengatur keberkesanan iklan selain kitaran perniagaan, tutorial Instagram untuk perniagaan, tip mengambil gambar, Instavideo, teknik jualan menggunakan WhatsApp dan konsep asas pelanggan.

Terdahulu peserta diperkenalkan dengan asas pengenalan dunia digital, memahami asas produk dan servis, struktur perniagaan digital serta potensi pasaran digital di negara ini.

Antara lain yang dikongsikan ialah aspek copywriting dan asas rekaan grafik.

Peserta rata-rata begitu teruja dengan ilmu dan kemahiran yang dikongsikan.

Suara Sarawak