PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan wang dan penerbit wang elektronik (e-Money) yang diperbadankan di Malaysia, Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade), kini mendapat pengiktirafan berkanun untuk menyalurkan gaji pekerja asing secara digital di seluruh Sarawak.
Pengiktirafan itu dimuktamadkan menerusi penerbitan Perintah Kerja (Pengeluar Instrumen Pembayaran yang Diiktiraf) (Sarawak) 2026, yang berkuat kuasa selama tiga tahun mulai 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2029.
Dengan kelulusan berkenaan, Merchantrade kini mempunyai pengiktirafan berkanun bagi penyediaan pembayaran gaji digital di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran berkata, perkembangan itu memperkukuh usaha syarikat mendigitalkan pembayaran gaji, mempercepat peralihan kepada ekonomi tanpa tunai selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, selain memperluas akses kewangan yang lebih selamat kepada pekerja.
“Dengan pengiktirafan daripada Sarawak ini, kami telah melengkapkan matlamat menyediakan pembayaran gaji digital ke e-dompet di seluruh negara.
“Kami merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak atas kepimpinan progresif serta pengiktirafan peranan e-dompet digital dalam merapatkan jurang kewangan, khususnya bagi pekerja yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, lebih 3,000 majikan termasuk 40 syarikat tersenarai awam kini menggunakan portal Merchantrade Payroll untuk memudahkan dan mendigitalkan proses pembayaran gaji bulanan.

