Mereka pelatih, bukan penjenayah

KUCHING: Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kuching akan kekal di Jalan Penrissen di sini tanpa perlu memindahkan ke lokasi baharu di Penjara Puncak Borneo.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ini kerana penghuni Puspen tidak dianggap pejenayah tetapi sebagai pelatih.

“Mereka pelatih yang diberi masa untuk pulih dan dipimpin, bukan penjenayah seperti di penjara,” katanya pada Program Ngabang Raya di Puspen di sini semalam.

Hasidah yang turut mengumumkan geran RM10,000 kepada Puspen berkata, cadangan untuk menaik taraf pusat itu adalah langkah terbaik kerana pelbagai rancangan boleh dirancang di pusat berkenaan.

Antaranya kata Hasidah, kaedah penanaman fertigasi yang masih di peringkat awal pelaksanaan.

“Kita difahamkan ada banyak program lain seperti kursus kemahiran dan program agro boleh dilaksanakan di Puspen,” jelasnya.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pelawat Puspen Kuching, Tan Sri Abang Khalid Tan Sri Abang Marzuki dan Pengarah Puspen Kuching, Christopher Billy.

Terdahulu Abang Khalid berkata, konsep rumah terbuka mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan masyarakat negeri ini berbilang kaum.

“Keistimewaan ini harus kita banggakan dan tradisi amalan rumah terbuka perlu diterus untuk menyatukan dan menguatkan ikatan kemasyarakatan,” katanya.

Pada majlis sama, Sharifah dan Abang Khalid telah menyerahkan geran berjumlah RM25,000 kepada pusat pemulihan tersebut untuk keperluan klien Puspen Kuching dan juga membantu menjalankan aktiviti pada masa akan datang.