Merpati Team belasah pasukan Japsa FC 8-1

SKUAD handalan, Merpati Team memberi amaran awal, setelah membelasah Japsa FC 8-1 dalam aksi buka tirai Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Liga Sri Aman hujung minggu lalu.
Juara bertahan itu, menjaringkan tiga gol pada babak pertama, dan ‘mengamuk’ pada babak kedua dengan lima ledakan jaringan.
Japsa FC, hilang arah dan gagal bangkit, mereka hanya mampu menjaringkan gol sagu hati.
“Ia merupakan permulaan positif bagi kami,” kata ketua pasukan Merpati Team, Awang Sifullah Awang Yaman, yang juga bekas pemain Sarawak.
“Syabas kepada semua pemain kerana berjaya melaksanakan tugas dengan sempurna,” ujarnya.
Menurut Sifullah, mereka kelihatan tercari-cari rentak pada awal saingan, namun berjaya mengubah tempo selepas menjaringkan gol pertama.
“Kami mahu mengekalkan momentum tersebut… dan kami mahu meneruskan rentak kemenangan ini,” katanya.
Merpati Team akan menentang Azam FC dalam aksi kedua Ahad ini (10 Januari) pada jam 3.45 petang.
Sementara itu, tiga lagi perlawanan turut berlangsung hujung minggu lalu.
Datus United menang (6-0) ke atas The Cops, diikuti kemenangan (4-0) PC United terhadap Rimong Crocs.
Turut berlangsung ialah acara perasmian yang disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Datuk Francis Harden Hollis.

Suara Sarawak