LUNDU: Seorang lelaki warga emas bersama menantu lelakinya maut selepas kereta Perodua Kenari dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Bau-Lundu, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam jam 7.30 pagi itu, seorang wanita yang juga anaknya mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Lundu Deputi Superintendan Damataries Lautin berkata, mangsa yang meninggal dunia berumur 83 dan 63 tahun sementara, mangsa yang cedera berumur 58 tahun.

“Kemalangan berlaku membabitkan tiga buah kenderaan terdiri dari lori treler, Perodua Kenari dan Proton Saga.
“Siasatan awal ditempat kejadian, lori treler sedang memandu menuju ke arah Lundu dan melalui lencongan tiba-tiba dilanggar oleh sebuah Perodua Kenari di bahagian belakang kanan belakang treler tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Damataries memberitahu, Perodua Kenari tersebut menuju ke arah Bau dan masuk ke laluan lori treler.

Pada masa yang sama katanya, sebuah Proton Saga yang mengekori kenderaan mangsa telah melanggar bahagian belakang.
“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu dan penumpang hadapan maut di tempat kejadian manakala penumpang belakang dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Pemandu treler dan pemandu Proton Saga tidak mengalami apa-apa kecederaan,” jelasnya.
Beliau berkata, keadaan jalan raya basah pada masa kejadian dan hujan renyai-renyai.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.