Mesyuarat khas malam ini bincang PKPD di Sibu susulan lonjakan kes positif hari ini

SIBU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) akan bermesyuarat serta-merta malam ini bagi mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Zon Tiong Hua dan Zon Sentosa .

Penyelarasnya Dr Annuar Rapaee berkata, keputusan ini dibuat susulan peningkatan kes positif Covid-19 yang dicatatkan di kedua-dua zon yang di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) itu.

“Kami akan mengadakan mesyuarat malam ini dan pengumuman mengenai keputusan tersebut akan diumumkan esok.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan Residen Bahagian Sibu dan ahli JPBBS yang lain malam ini dan kami akan mencadangkannya (PKPD).

“Namun pengumumannya akan dibuat esok,” tegas Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu sebentar tadi..

Beliau mendedahkan perkara ini ketika laporan kemas kini kes harian bagi daerah Sibu secara maya melalui laman sosial petang tadi.

Katanya, daripada 181 kes positif yang dilaporkan di Sibu hari ini, 85 dilaporkan di kawasan pentadbiran MPS, 50 (Sibu Jaya) dan 46 kes (kawasan pentadbiran Daerah Luar Bandar Sibu {MDLBS}).

Beliau mendedahkan Zon Tiong Hua dan Zon Sentosa masing-masing melaporkan 19 kes pada hari ini.

Tempat lain di kawasan pentadbiran MPS yang menunjukkan peningkatan jumlah kes termasuk Zon Farley dengan sembilan kes dan Zon Kiew Nang dengan tujuh kes.

Bagi Sibu Jaya, jelas Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu lagi, 38 kes dikesan di rumah pangsa manakala Town Villa mencatatkan enam kes dimana kedua-dua kawasan penempatan ini sedang dalam pelaksanaan PKPD dan selebih kes lain adalah di sekitar kawasan penduduk dan pusat komersial Sibu Jaya.

Bagi kawasan MDLBS, ujarnya, ia membabitkan Bawang Assan yang mencatatkan 34 kes dari rumah panjang hari ini, tiga kes di Pasai, dua kes di Durin, KJD/Assan melaporkan empat kes dan Batang Igan tiga kes.

“Sebab mengapa kes hari ini tinggi adalah disebabkan banyak sampel calitan yang kita buat sebelum ini.

“Kami bekerja sangat keras bagi memastikan bahawa setiap kes dapat dikesan, kami tidak mahu satu pun ditinggalkan,” tegasnya yang juga Adun Nangka.

DR Annuar ketika mengemaskini kes harian Covid-19 bagi Sibu lewat petang tadi.

Suara Sarawak