Mi Sapi Haji Salleh eratkan Petra Jaya, Putrajaya

PADA Khamis dan Jumaat lalu, Bumi Kenyalang menerima kunjungan pemimpin nombor satu negara Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedatangan yang kedua kali selepas bergelar Perdana Menteri.

Kali pertama dahulu pada 2020 bersempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Bandar Sibu.

Ketika itu, beliau dengan yakin apa jua isu boleh diselesaikan apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sehaluan.

“Saya hendak nyatakan isu-isu yang dianggap sukar untuk diselesaikan boleh diselesaikan dengan baik apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sehaluan dan sehati sejiwa,” tegas Muhyiddin.

Namun sebelum itu pun, ketika beliau berada dalam Barisan Nasional (BN), sambil memegang portfolio penting, beliau bukanlah asing dengan tanah Borneo ini.

Malah, pekan terpencil seperti Pusa, tempat kelahiran penulis ini pun pernah didatangi oleh Muhyiddin.

Muhyiddin dan Sarawak, mungkin lebih kurang seperti mantan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan Sarawak, yang pernah melawat wilayah ini lebih 60 kali.

Tetapi, bagaimanakah dengan tahap populariti Muhyiddin dalam kalangan rakyat negeri ini?

Bukan hendak membandingkan antara pemimpin, tetapi rakyat Sarawak mengharapkan pemimpin yang jujur dan ikhlas ‘mencintai’ Sarawak.

Jika disebut perdana menteri selama 22 tahun atau 22 bulan, minta maaflah… “jauh gilak Pak Wie!”

Jadi, sama ada Muhyiddin lebih popular atau kurang popular daripada Najib itu tidak penting, lebih penting apa yang dapat diberikannya kepada Sarawak.

Ketika ini, isu paling hangat ialah tentang hak dan kepentingan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan rakyat amat mengharapkan semua hal berkaitan yang pernah dibangkitkan dapat dinoktahkan dengan segera oleh Kerajaan Persekutuan.

Lebih-lebih lagi dengan kedudukan GPS yang cukup penting ketika ini.

Jika tanpa sokongan GPS, bagaimana?

Analogi mudah yang harus difahami, ada hulur, ada sambut… noktah!

Kalau kita masih ingat, sekiranya apa yang diberikan oleh Muhyiddin pada 9 Mac 2020 satu lagi sejarah baharu dalam dunia politik moden hari ini.

Biarpun GPS di luar Perikatan Nasional (PN), tetapi kerana sokongan padunya untuk bersama-sama menyelamatkan negara ketika itu, Sarawak mendapat sesuatu yang begitu berharga.

Paling penting pelantikan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Sri Fadillah Yusof sebagai salah seorang daripada empat Menteri Kanan dalam Kabinet baharu yang juga memegang portfolio kerja raya.

Ramai pihak menyifatkan ini percaturan yang tepat untuk melengkapkan infrastruktur di Sarawak yang masih serba kekurangan.

Selain tiga lagi wakil rakyat yang diberikan kepercayaan menerajui kementerian yang begitu diperlukan Sarawak iaitu Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Selain itu, Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri mengepalai Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) serta Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meneraju Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Lebih menarik, kesemua mereka merupakan Ahli Parlimen GPS.

Betullah kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sebelum ini, baru kita tahu betapa berharganya GPS.

Faktor ini diyakini mampu melonjakkan perjuangan Sarawak dengan membawa semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Terutamanya melibatkan tuntutan royalti minyak dan gas selain isu penurunan kuasa serta penjagaan hak dan kepentingan Sarawak.

Baru-baru ini juga, ketika Muhyiddin berada di bandar raya Kuching beliau mengakui semua pihak tidak harus lupa bahawa Sarawak bukannya negeri, tetapi sebuah wilayah.

Wilayah yang membentuk Malaysia bersama-sama Tanah Melayu, Sabah dan Singapura. Meskipun begitu, Singapura keluar dari Malaysia pada 1965 dengan alasan tertentu.

Maknanya di sini, Sarawak atau Sabah sebenarnya mempunyai ‘status’ yang lebih berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Ini hak Sarawak seperti mana ketika MA63 ditandatangani.

Inilah yang diperjuangkan oleh Abang Johari dan pasukannya dan diharap lawatan Muhyiddin baru-baru ini akan menjadi usaha berterusan bagi Sarawak dalam mendapatkan apa yang menjadi haknya.

Betul, tidak minta banyak, tidak juga meminta lebih.

Tetapi seandainya ada, itu rezeki.

Sebagai rakyat Sarawak, penulis yakin seperti juga orang lain, dengan adanya hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan hari ini dengan Kerajaan Sarawak akan menjadikan Sarawak lebih maju.

Yang di sana, kalau rindu penangan Mi Sapi Haji Salleh, jenguk-jenguklah lagi… kerana, di sebaliknya bermacam-macam kesepakatan dapat dicapai.

Mi sapi memang mi sapi, politik tetap politik dan dalam keadaan politik yang masih hangat di sebelah sana, pastinya sokongan padu daripada GPS amat penting.

Maka, setelah Abang Johari mengesahkan sokongan terhadap Muhyiddin, harap isi hati orang Bumi Kenyalang terus difahami.

Dalam terang, tidak perlu bersuluh lagi kerana Mi Sapi Haji Salleh ‘memang istimewa’.

Malah, berupaya menjadi tali pengikat kepimpinan di Petra Jaya dan Putrajaya, demi negara dan wilayah Sarawak yang lebih hebat pada masa depan.

Suara Sarawak