Pembantu pergigian maut dalam nahas jalan raya

Miliki 2.3kg methamphetamine, lelaki dihukum digantung sampai mati

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi oleh anggota kastam di sini, hari ini.

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki tempatan selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 2.3 kilogram, tiga tahun lalu.

Hakim Azhahari Kamal Ramli menjatuhkan hukuman terhadap Tan , 48, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat kurier di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, di sini, kira-kira jam 2.00 petang, 22 Februari 2019.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit bersalah.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, tertuduh dilihat membawa bungkusan yang baru diambil dari kaunter kurier terbabit.

Semasa tertuduh keluar dari kawasan pejabat kaunter kurier tersebut, pegawai kastam yang bertugas membuat serbuan telah menahan tertuduh.

Semasa ditahan, tertuduh bertindak cuba melarikan diri dan mencampakkan bungkusan yang baru diambilnya, namun dia berjaya ditangkap oleh pasukan serbuan bersama barang tersebut.

Hasil pemeriksaan ke atas bungkusan terbabit mendapati tiga bungkus plastik mengandungi bahan kristal yang disyaki dadah jenis Methamphetamine.

Sementara, sebelum keputusan diberikan, Hakim Azhahari berpendapat pihak pembelaan tertuduh telah menimbulkan watak yang bersifat rekaan dan ia adalah satu penafian semata-mata.

Semasa tertuduh memberi keterangan, menyatakan bahawa dia diminta oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Monkey untuk mengambil bungkusan terbabit di pejabat kurier.

Tertuduh menyatakan bahawa Monkey mengarahkannya mengambil barang tersebut melalui pangilan telefon dan menghantar nota konsainan menggunakan aplikasi Wechat.

Namun demikian, kenyataan itu tidak pernah dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Malahan, semasa perbicaraan kes, tertuduh gagal mengenal pasti hubungannya dengan Monkey dan gagal mengingati tempoh masa perkenalan mereka.

Hasil siasatan, mendapati nombor telefon yang menghubungi tertuduh adalah milik orang lain dan bukan milik kenalannya bernama Monkey.

Oleh demikian, Azhahari menyatakan bahawa adalah sukar untuk mahkamah mempercayai keterangan cerita tertuduh kerana tiada pengesahan identiti Monkey yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

“Oleh itu, Mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. Maka Mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

Sebanyak sembilan orang saksi pendakwaan dan dua orang saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes berlangsung.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Nabilah Ahmad Po’ad manakala tertuduh diwakili dua orang peguam iaitu Daren Ling Hang Hui dan Kenneth Yip.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 Mac 2023

Berita Terbaru