Miliki 5 gram syabu, lelaki dari Mukah dipenjara dua tahun

KUCHING: Mahkamah Majistret semalam mengarahkan seorang lelaki yang mengaku bersalah memiliki dadah jenis syabu dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.

Majistret Zaiton Anuar mengarahkan lelaki berusia 41 tahun dari Mukah itu dipenjara bermula daripada tarikh 15 Mac tahun lalu.

Lelaki itu mengaku memiliki dadah jenis Methamphetamin seberat 5.12 gram dan mengaku di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya,1952.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada jam 11.10 malam di sebuah rumah di Taman Duranda Emas Jalan Kuching-Serian pada 14 Mac tahun lalu.

Menurut fakta kes, ketika ditahan, tertuduh telah ditangkap bersama satu beg berwarna hitam yang mengandungi 20 plastik lut sinar iaitu bahan kristal yang didapati mengandungi dadah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Merylene Lindan Andrew sementara tertuduh diwakili peguam Lim Lian Kee.