KUCHING: Seorang lelaki djatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana memiliki harta curi berupa sebuah kereta jenis Perodua Kenari, September lalu.
Mohamad Yusmadi, 40, dari Matang itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki harta curi di sebuah rumah di Jalan Matang, sekitar jam 5.00 petang, 27 September lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 31 Ogos lalu, pengadu berusia 39 tahun diberitahu oleh pekerjanya bahawa keretanya yang diletakkan di hadapan sebuah bengkel telah dicuri orang.
Pengadu kemudian membuat semakan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) mendapati tiga individu tidak dikenali telah mencuri kenderaan tersebut sekitar jam 1.20 pagi.
Sempena Ops kesan pada 27 September lalu, tertuduh berjaya ditangkap dalam sebuah rumah di Matang kerana disyaki terlibat dalam kes terbabit.
Semasa pemeriksaan, sebuah kereta Kenari dijumpai dengan pendaftaran nombor flat palsu.
Hasil semakan pada nombor casis mendapati kenderaan tersebut adalah milik pengadu seperti dalam laporan.
Siasatan lanjut mendedahkan tertuduh memiliki kereta curi milik pengadu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng, ,manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





