KUCHING: Seorang lelaki tempatan terpaksa akur menyambut Hari Lahirnya ke 39 tahun hari ini di penjara selepas dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret kerana memiliki sebuah motosikal curi.
Tertuduh Jonathan Fu mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki harta curi sebuah motosikal jenis Yamaha milik Mohd Shahibie, 38.
Dia memiliki barang curi itu bersebelah sebuah kedai runcit, di Jalan Setia Raja, kira-kira jam 6 petang pada 11 Mei lepas.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda.
Mahkamah menetapkan tertuduh mula menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah membuat laporan polis pada bulan Mei lalu, mengenai sebuah motosikalnya jenis Yamaha hilang dicuri orang yang diletakkan di tempat letak motosikal di sebuah kedai runcit.
Bertindak atas maklumat, pada 14 Ogos lepas, sekitar jam 8.55 malam sepasukan polis telah membuat satu tangkapan terhadap tertuduh di kaki lima sebuah bangunan belakang bengkel kerana dipercayai memiliki harta curi.
Semasa pemeriksaan, tertuduh berjaya ditahan bersama barang rampasan iaitu sebuah motosikal dan seunit telefon pintar.
Hasil siasatan semasa tangkapan tertuduh didapati menyimpan barang curi sebuah motosikal milih mangsa apabila mangsa mengesahkan nombor pendaftaran enjin casis sama seperti dalam laporan polis kehilangan terdahulu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.