
SIBU: Seorang wanita tempatan berusia 32 tahun bakal berdepan hukuman gantung sampai mati setelah ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan hari ini berkata, suspek telah ditahan pada jam 1.45 petang di Lorong Rejang Park.
Beliau mendedahkan tangkapan ke atas suspek adalah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis menjumpai 29 paket plastik lutsinar pelbagai saiz dan setiap paket berisi hablur kristal disyaki dadah jenis Syabu (Methamphetamine) dengan anggaran berat 52.15 gram dan anggaran nilai berjumlah RM5,215,” katanya.
Zulkipl menambah, tiga papan keranjang timah berwarna perak/merah bertulis ‘Eremin 5’ berisi 28 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan anggaran beratnya 8.03 gram turut dijumpai dengan nilai anggaran berjumlah RM300.
Selain itu, satu paket plastik lutsinar mengandungi 14 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi 17 biji pil pelbagai warna disyaki dadah jenis Ecstasy turut dijumpai, dengan anggaran berat 10.65 gram (dianggarkan RM595).
Rentetan rampasan itu, dedahnya, keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM6,110.
“Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 ini jika sabit kesalahan, akan dikenakan mandatori gantung sampai mati, manakala bagi kesalahan dibawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 akan didenda tidak lebih dari RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun dibawah Seksyen 38B ADB 1952,” tegas Zulkipli.