KUCHING: Padah memiliki rangka motosikal yang dicuri, lelaki bekerja sendiri dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Sharfiqh Masri Reduan, 29, dari Kampung Tupong Ulu mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda.
Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki harta curi sebuah rangka motosikal milik Anthony Galin Nanda, 30, di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Astana, kira-kira jam 9.10 malam, 20 September lepas.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah membuat laporan polis pada 22 Disember 2021 mengenai motosikalnya hilang dicuri orang ketika diletakkan di kaki lima sebuah pusat beli belah.
Bertindak atas maklumat, pada 20 September lalu, sepasukan polis telah membuat satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Astana kerana disyaki menyimpan barang curi.
Semasa pemeriksaan, tertuduh berjaya ditahan bersama bahan rampasan iaitu sebuah rangka motosikal.
Motosikal itu disahkan milik mangsa melalui nombor pendaftaran enjin casis sama seperti dalam laporan polis kehilangan terdahulu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.