Miliki rumah RM90,000-RM160,000

SIBU: Sebanyak 86 unit rumah mampu milik atau Rumah Spektra Permata (RSP) di Kemuyang di sini akan siap pada April depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ini adalah sebahagian daripada 2,500 unit RSP yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tahun lepas.

“Sekarang ini, 86 unit daripada RSP dibina oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan 24 unit lagi sedang dijalankan.

“Manakala Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) akan membina 76 unit, menjadikan jumlah itu kepada 186 unit dibina untuk kawasan Kemuyang.

“Untuk 86 unit ini akan siap pada April tahun ini. Harga antara RM90,000 hingga RM160,000,” jelasnya pada sidang media selepas lawatan tapak di Kemuyang semalam.

Untuk rekod, RSP Kemuyang Sibu melibatkan keluarga kelamin dari Kampung Datu, Kampung Hilir, Kampung Nyabor dan Kampung Bandong dengan sejumlah 813 lot telah diperuntukkan untuk pembangunan.

Dr Sim berkata lebih banyak unit rumah mampu milik akan dibina sejak pengumuman Ketua Menteri mengenai 2,500 unit rumah mampu milik di Sarawak tahun lepas.

“Sebanyak 2,700 unit yang akan dibina iaitu tambahan 200 unit,” ujarnya sambil menambah dana telah disediakan untuk melaksanakannya.

Menurutnya, RSP adalah program Kerajaan Sarawak bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan kumpulan berpendapatan sederhana (M40) untuk memiliki rumah sendiri.

Sementara itu daripada 2,500 unit, sebanyak 1,383 unit kini berada di bawah pendanaan Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu Darul Hana Kuching (564 unit), Bunga Rampai Bau (122), Kemuyang Sibu (110), RSP Lundu (26), RSP Sematan (25), RSP Igan (22), RSP Tian (20), Ranggau Limbang (128), Kampung Baru Kapit (75), Kampung Tabuan Melayu (258), RSP Lingga (10), Mejelin Miri (20) dan Kampung Datu Sibu (3).

Untuk baki unit, HDC telah mengenal pasti tujuh tapak baharu yang melibatkan pembinaan 1,406 unit RSP iaitu Skim Penempatan Semula Bau (164 unit), Tabuan Melayu (Selipar Putus) (200), Permyjaya III (278), Kanowit II (98), Lundu (240), Skim Pembesaran Kampung / Skim Penempatan Semula (264) dan Skim Pembesaran Kampung Spaoh Baru (162).

Terdahulu, Dr Sim melawat tapak projek di Sibu Jaya sebelum menuju ke Kemuyang.

Hadir sama pada sidang media ialah Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee, tiga Setiausaha Politik Ketua Menteri iaitu Michael Tiang, Daniel Bujal serta Teng Ung Woo, Residen Sibu Charles Siaw, Pegawai Daerah Sibu Suhaili Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Mohamad Asman Ahmad.

Suara Sarawak