Trending

Miliki, salah guna dadah, lelaki tempatan didenda RM9,900

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Seorang lelaki tempatan didenda RM9,900 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah dan memiliki dadah jenis Methamphetamine, Mei lalu.

Tertuduh Saiful, 31, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 1.57 gram dan 1.68 gram.

Dia didakwa memiliki barang terlarang itu di sebuah rumah di Kampung Semariang Wawasan Jaya, sekitar jam 11.30 malam, 30 Mei lalu.

Pendakwaan kes di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Syarifah Fatimah menjatuhkan hukuman denda RM3,600 atau penjara lapan bulan manakala pertuduhan kedua memperuntukkan hukuman RM3,500 atau lapan bulan penjara.

Selain itu, tertuduh juga didakwa terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah apabila memasukkan dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya.

Dia didakwa mengambil bahan terlarang itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 31 Mei lalu.

Bagi kesalahan tersebut dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau penjara lima bulan terhadap tertuduh bagi pertuduhan ketiga.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru