
KUCHING: Seorang lelaki berusia 58 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki syabu seberat 0.08 gram.
Tertuduh, Wee Chuan Hock, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan terlarang itu dalam sebuah rumah di Kenyalang Park, kira-kira jam 3 petang, 9 Januari lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibacakan bersama Seksyen 12 (3) akta yang sama, jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Zaiton memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 9 Januari lepas.
Menurut fakta kes, pada 9 Januari lalu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching membuat satu serbuan di sebuah rumah di Kenyalang Park lalu menahan tertuduh kerana disyaki terlibat dalam aktiviti dadah.
Hasil pemeriksaan menjumpai satu paket plastik berwarna biru berisi ketul-ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu.
Barang kes kemudian di bawa ke Jabatan Kimia Malaysia dan laporan mengesahkan bahan tersebut mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 0.08 gram.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.