KUCHING: Komuniti perniagaan di Sarawak perlu bergerak maju dan mengambil bahagian secara aktif dalam transformasi digital ekonomi negara.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata, cara untuk menjalankan perniagaan perlu berubah mengikut keadaan baharu khususnya selepas Covid-19.
“Kami ingin mendorong penggunaan teknologi maklumat (IT), e-dagang dan semua teknologi yang lain untuk menjalankan perniagaan supaya terus maju ke hadapan dan mengurangkan pertemuan secara bersemuka.
“Kami ingin teknologi ini tidak hanya digunakan oleh agensi kerajaan dan perniagaan besar tetapi juga boleh dikecapi pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara SEDC dengan MPC di Dewan Asajaya, Tingkat 1, Hotel Grand Margherita, di sini semalam.
Tambahnya, terdapat banyak pengusaha kecil yang menghadapi kesukaran ekoran pelaksanaan PKP susulan mengekang penyebaran Covid-19.
“SEDC berharap dapat memperkenalkan penggunaan digital seperti e-dagang, IT, transaksi dalam talian dan sistem pembayaran elektronik untuk menjadikan perniagaan lebih baik.
“Apabila sudah memiliki IT dan e-dagang, kita sebenarnya dapat memiliki dunia melalui perdagangan.
“Apabila kita tidak berhenti melaksanakan perniagaan di Sarawak, kita juga sedang berusaha untuk menembusi perniagaan dunia,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, penggunaan teknologi digital bukanlah sesuatu yang baharu dalam konteks MPC.
“Setakat ini, MPC mengadakan 187 webinar membabitkan sekitar 30,000 pemain industri sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu,” tambahnya.