
KUCHING: Seorang wanita dikenakan bon berkelakukan baik selama satu tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki wang secara tidak sah sebanyak RM3,500 selepas akaun peribadinya digunakan untuk aktiviti penipuan dalam talian, dua tahun lalu.
Tertuduh Nor Hanani Aman, 35, dari Malim, Melaka mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 37(1), Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia menerima transaksi wang berjumlah RM2,000 pada 16 Mac 2021 dan RM1,500 pada 18 Mac 2021 dari sebuah bank di Wisma Satok, di sini.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda RM500 jika sabit kesalahan.
Syarifah menjatuhkan hukuman bon berkelakuan baik selama satu tahun dengan jaminan RM500 (tanpa deposit) beserta suami sebagai penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa wanita telah berkenalan dengan seorang lelaki yang menyatakan dirinya dari United Kingdom di laman sosial media Instagram.
Mangsa diberitahu kenalannya bahawa ada mengirim barang kepadanya namun ditahan oleh agen penghantar barang dan meminta mangsa membuat beberapa pembayaran untuk melepaskan barang tersebut.
Mangsa kemudian membuat dua transaksi pembayaran ke akaun CIMB bank atas nama tertuduh Nor Hanani Aman dengan jumlah keseluruhan RM3,500.
Namun malangnya mangsa tidak menerima barang yang dikirimkan oleh kenalannya sehingga sekarang.
Menyedari diri ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Difahamkan, tertuduh telah menyerahkan kad bank ATMnya yang baru dibukanya kepada seorang kenalan lelakinya yang menyatakan diri dari United Kingdom melalui laman sosial facebook.
Lelaki terbabit menyatakan ada menghantar barang ke tertuduh dan meminta bayaran untuk melepaskan caj penghantaran, namun tertuduh menyatakan bahawa tiada wang untuk membuat pembayaran.
Kemudian lelaki berkenaan meminta nombor akaun tertuduh untuk memudahkan proses pembayaran projek tender yang berada di Malaysia selain membantu menguruskan pembayaran parcel tertuduh.
Hanani kemudian pergi ke CIMB Bank untuk membuka akaun peribadi baru seterusnya menghantar kad ATMnya kepada lelaki tersebut melalui pos.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.