KUCHING: Selepas melalui perjalanan panjang dalam industri muzik, penyanyi dan penulis lagu, Mimifly, membuktikan bahawa usaha serta keyakinan terhadap karya sendiri akhirnya membuahkan hasil apabila muncul sebagai penerima trofi terbanyak pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25).
Mimifly atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, 39, berjaya membawa pulang lima kemenangan menerusi beberapa kategori utama, sekali gus menjadikan malam AIM25 penuh bermakna buat penyanyi yang sudah 18 tahun berada dalam industri muzik itu.

Lima kemenangan tersebut ialah Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi lagu Temberang, Lagu Perayaan Terbaik serta Anugerah Dalam Talian – Lagu Dengan Hasilan Tertinggi di TikTok menerusi Serumpun, selain Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu menerusi Nara.
Bercakap pada sidang media selepas AIM25 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi, Mimifly tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan terharu dengan pencapaian berkenaan.
Menurut penyanyi yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini, kemenangan itu bukan semata-mata mengenai trofi, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap hasil kerja kerasnya sebagai anak seni, terutama selepas melalui tempoh sukar dalam perjalanan kerjayanya.
“Ini tidak bermakna Mimi akan berhenti berkarya jika tidak mencapai sesuatu.
Mimi mahu terus berkarya.
Mimi tidak kira menang atau tidak kerana masih banyak karya yang Mimi mahu hasilkan.

“Pengiktirafan daripada industri muzik memberikan semangat baharu kepada saya untuk terus menghasilkan karya dan pada masa sama membuka lebih banyak peluang dalam bidang muzik,” ujarnya.
Lebih menyentuh perasaan, penyanyi itu mengakui pernah melalui tempoh empat tahun tanpa menghasilkan karya selepas membuat keputusan untuk berehat daripada industri.
Katanya, tempoh tersebut membuatkan dirinya berasa kehilangan arah dan identiti sebagai seorang anak seni.
Namun, segala-galanya berubah apabila dia membuat kemunculan semula pada penghujung 2024 menerusi lagu Angkat, yang kemudiannya turut memenangi anugerah pada AIM24.
“Mimi sangat bersyukur kerana inilah jalan yang Mimi pilih.
Mimi adalah seorang anak seni dan Mimi mahu teruskan lagi.
“Saya mengakui perjalanan untuk kembali aktif dalam muzik bukan mudah.
Sebagai artis independen tanpa bernaung di bawah label besar, dia bergantung kepada pasukan kecil yang sentiasa memberikan sokongan dan mempercayai kemampuannya,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan penerbitnya, Bo Amir Ikram, sebagai antara individu penting yang membantu menghidupkan semula semangatnya dalam berkarya.
Menurut Mimifly, mereka banyak menghabiskan masa di studio sepanjang 2024 untuk menghasilkan karya tanpa menetapkan sasaran khusus untuk menerbitkannya.
“Sepanjang 2024, kami keluar masuk studio dan hanya berkarya.
Kami tidak ada perancangan pun untuk keluarkan lagu.
Sampai akhirnya kami menghasilkan Angkat dan terfikir untuk menerbitkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Mimifly berkata sokongan keluarga, khususnya doa ibunya, turut menjadi sumber kekuatan utama sepanjang perjalanan tersebut.
Beliau berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan dengan kegagalan atau pandangan orang lain.

“Mungkin sepanjang 18 tahun ini terlalu banyak orang kata Mimi tidak mampu dan tidak boleh.
Kadang-kadang perkara itu membuatkan kita sendiri percaya bahawa kita tidak layak atau tidak mampu.
“Tetapi Mimi sangat bersyukur kerana tidak pernah mengalah.
Kalau kita percaya dengan apa yang mahu kita bawakan sebagai anak seni, kita tidak perlu terlalu memikirkan apa orang lain kata.
Kita sendiri perlu percaya kepada diri,” jelasnya.
Bagi Mimifly, dia tidak mengejar gelaran sebagai yang terbaik, sebaliknya mahu menjadi dirinya sendiri dan menghasilkan karya yang mempunyai identiti tersendiri.
“Saya tidak mahu menjadi yang terbaik.
Mimi cuma mahu menjadi satu-satunya, the one and only, yang membawa apa yang Mimi bawa,” katanya.
Kemenangan lima trofi AIM25 itu sekali gus menjadi detik penting dalam perjalanan seni Mimifly, selepas bertahun-tahun berdepan pelbagai cabaran untuk kembali menemui keyakinan dan identitinya dalam muzik.





