Mimpi kami sama, jalan cerita berbeza

KUCHING: Demi duit Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM300, warga emas berusia 73 tahun sanggup menempuh perjalanan sejauh 90 kilometer dari pedalaman ke Kuching.
Bagaimanapun, warga emas yang dikenali sebagai Tok Akau akhirnya hampa apabila dimaklumkan oleh bank bahawa baucar tunai bantuan kerajaan itu tidak pasti tarikh sebenar.
Akhirnya, dia terpaksa menjadi gelandangan selama beberapa hari dengan tidur di kaki lima di belakang bangunan komersial Electra House – beralaskan kotak tanpa selimut dan bantal.
Katanya, dia belum dapat balik ke kampung kerana memerlukan wang itu dan berharap dapat diambil secepat mungkin.
“Saya ke sini selepas diberitahu penduduk kampung bantuan tunai itu dapat diambil akhir bulan ini.

“Tetapi kerana tidak pasti tarikh sebenar, saya memutuskan untuk datang ke Kuching memeriksanya sendiri dengan menaiki van dengan bayaran tambang membayar RM20.
“Saya tidak dapat pulang ke rumah dahulu kerana belum menerima bantuan wang tunai itu,” katanya kepada Suara Sarawak ketika ditemui pada operasi tinjauan gelandangan di di tengah pusat bandar jam 12 tengah malam, semalam.
Seperti Akau, banyak rakyat Malaysia memerlukan bantuan seperti BPN untuk meneruskan kehidupan kesan daripada pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dunia.
“Saya tidak ada banyak wang untuk berulang-alik Sebuyau ke Kuching. Jadi satu-satunya pilihan yang ada, tidur di jalanan kerana tidak mampu menginap di hotel,” katanya lagi.
Melihat gelandangan yang menjadikan kaki lima di bandar raya ini sebagai tempat tidur menyentuh hati penulis.
Bayangkan, ketika kita enak tidur di atas tilam empuk di rumah, ada insan yang memilih jalan sebagai tempat tidur.
Sementara seorang lagi ditemui, Pakcik Mostapha, 55 berkongsi cerita, dia sudah menjadi penghuni tetap jalanan sejak 20 tahun.
Ujarnya yang berasal dari Kuching, dia sendiri yang memilih untuk tinggal di jalanan.
“Ada ahli keluarga yang mahu membawa saya pulang, tetapi saya tidak mahu menjadi beban kepada mereka.
“Selain itu, saya tidak mahu mengganggu keluarga kerana mereka ada komitmen masing-masing.
“Saya pun tidak memiliki sesiapa, isteri atau anak. Jadi, jalan adalah rumah selesa saya. Saya sudah biasa tidur di bahu jalan, tepi jalan malah langsung tiada gangguan,” katanya.
Mostapha kini berulang-alik ke hospital kerana menghidap kencing manis menyebabkannya terpaksa menggunakan beg pundi kencing dan berharap dapat sembuh tidak lama lagi.
Mengenai kehidupan hariannya, katanya dia melakukan pelbagai pekerjaan antaranya mencuci dan menjaga tandas di bandar bagi menampung perbelanjaan makan dan keperluan lain.
“Jika tidak mampu membeli makanan, saya akan bertanya kepada pemilik restoran apakah mereka akan memberi saya makanan sekiranya saya membantu mencuci pinggan,” tambahnya.
Lain pula catatan jalanan bagi Pak Hamdan dari kampung di pinggir Kuching, dia akan kembali ke rumahnya apabila kerjanya selesai.
“Saya kehilangan tempat tinggal setelah keluarga meninggalkan saya selepas dipecat majikan beberapa tahun lalu.
“Jadi, saya tinggal di sini sejak itu. Tidak menjadi masalah, kami boleh tidur di mana sahaja kami mahu asalkan selesa. Malah kami tidak diganggu atau menganggu orang lain,” ujarnya.
Ketiga-tiganya selesa hidup di jalanan walaupun ada yang cuma menumpang tidur dua tiga malam seperti Akau.
Namun, memilih jalanan dengan berbumbungkan langit dan berlampukan bulan setiap malam, tidak pernah menganggu mimpi indah mereka.
Penulis melihat wajah ketiga-tiganya, mereka kelihatan bahagia.
Kita tidak tahu apa yang membuat mereka merajuk enggan kembali ke rumah, namun itu bahagia yang mereka cari.
“Biar kami bahagia dengan cerita kami sendiri. Tiada siapa yang membuang kami malah kami sering dibantu.
“Cuma, kami tidak mahu kembali ke penginapan yang dipanggil rumah. Kami selesa seperti ini. Kami sendiri pilih jalan kami,” kata mereka.