Minat membaca berita sejak kecil

KUCHING: Dalam dunia kewartawanan dan penyiaran, sikap sentiasa merendah diri menjadi pegangan Malissa untuk terus kekal dalam bidang ini.

Malissa Sahari, 34, mengutip pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang tersebut.

Pemilik tubuh kecil molek ini melalui detik suka duka sebagai pembaca berita di stesen nasional ibu kota.

Namun kini beliau menjadi pembaca berita di tanah air sendiri, di TVS.

“Bagi saya, mempunyai sikap yang sentiasa merendah diri dan boleh bergaul mesra dengan orang sekeliling dapat membawa saya kepada kejayaan hari ini.

“Oleh itu, sepanjang bergelar penyampai berita, apa yang menarik ialah kita dapat meningkatkan ilmu pengetahuan terhadap isu-isu semasa atau perkembangan terkini,” katanya.

Dalam pada itu, sikap dimiliki Malissa bukan sahaja kekuatan untuknya berada dalam dunia penyiaran, tetapi apa yang penting adalah kualiti untuk menulis berita.

Baginya kualiti sesuatu berita sangat penting berbanding kuantiti kerana jika penulisan kita berkualiti, ia akan dapat menyampaikan mesej tersebut ke hati rakyat.

Tambahnya, dalam menyampaikan sesuatu maklumat kepada penonton, kita perlu sentiasa ikhlas dan tidak boleh dilakukan dalam keadaan yang terpaksa.

“Apabila kita membuat liputan atau sedang bersiaran langsung dalam menyampaikan maklumat kepada penonton, kita perlu mengetahui apa yang hendak disampaikan.

Ia akan dapat membawa penonton seolah-olah mereka berada di lokasi.

“Oleh itu, bagi penyampai berita atau personaliti televisyen, mereka perlu sentiasa positif dan tidak bersikap negatif, sama ada di studio atau di luar,” ujarnya.

Jelas Malissa lulusan bidang kejuruteraan, minat yang diimpikan sejak kecil dan atas dorongan ibu memimpinnya ke bidang penyiaran.

“Kelebihan saya sebenarnya sudah terserlah ketika berada di bangku sekolah lagi.

“Saya sering mengambil akhbar di rumah dan membaca berita tersebut dengan nada seorang pembaca berita,” katanya.

Bagi Malissa, tidak dinafikan perasaan gementar berhadapan dengan kamera masih ada dalam dirinya meskipun sudah lama berkecimpung dalam dunia penyiaran.

“Bagi mengatasi perasaan gementar ini, saya sering menenangkan diri sebelum ke udara.

“Selepas bersiaran, perasaan gementar akan hilang. Saya dapat menumpukan perhatian untuk menyampaikan maklumat kepada penonton.

“Ia adalah perkara normal bagi semua orang untuk berasa gementar dalam sesuatu perkara,” katanya.

Oleh itu, Malissa berharap melalui platform TVS ini, bakat rakyat Sarawak yang terpendam dapat diketengahkan.

“Namun, bakat tersebut perlu diasah dan digilap dengan sebaiknya agar ia dapat memberi contoh yang baik kepada stesen-stesen televisyen yang lain.

“Apabila bakat ini sudah diasah dan digilap, sudah pasti ia akan memberi manfaat kepada TVS,” katanya.

Malissa turut mengimpikan untuk menubuhkan akademi sendiri yang berkaitan bidang ini.

“Impian saya untuk mempunyai anak didik sendiri supaya saya boleh berkongsi dengan mereka serba sedikit mengenai ilmu kewartawanan atau penyiaran,” katanya.

Suara Sarawak