Minum banyak air untuk jaga buah pinggang

SIBU: Empat program akan diadakan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2020 oleh Yayasan Buah Pinggang Sibu (SKF) bermula 1 Mac depan.

Pengerusi SKF, Temenggung Datuk Vincent Lau Lee Ming berkata, semua program bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga buah pinggang.

Menurutnya, program pertama iaitu Kayuhan Buah Pinggang akan diadakan pada 1 Mac bermula jam 6 pagi hingga 9 pagi.

Ia dianjurkan oleh SKF dan Kelab Basikal Swan Sibu.

Katanya lagi, ia akan disusuli dengan pertandingan mewarna pada 8 Mac di SM Wong Nai Siong, bermula jam 9 hingga jam 11 pagi. Ia adalah anjuran SKF dan Persatuan Aktiviti Rakyat Bersatu Lee Ming menjelaskan, tema
sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia kali ini ialah Minum Banyak Air Untuk Kesihatan Buah Pinggang.

“Tujuan semua program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan seterusnya menggalakkan mereka menjaga buah pinggang kerana ia organ yang sangat penting dalam badan,” tambahnya.

Pada 14 Mac pula, diadakan ceramah kesihatan di Hotel Kingwood bermula jam 2 petang hingga 4 petang yang dianjurkan oleh SKF bersama-sama Melilea (M) Sdn Bhd.

Pemeriksaan kesihatan percuma juga diadakan mulai jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang.

“Kami menggalakkan orang ramai untuk menghadiri ceramah kesihatan ini. Tetapi peserta perlu berusia 15
tahun ke atas.

Orang awam yang berminat boleh mengambil tiket masuk di Pejabat SKF (084-343 500) atau Pejabat Melilea (084-341 166) dan bilangan peserta dihadkan kepada 300 orang sahaja.

“Peserta perlu menyertai ceramah sehingga habis bagi mengumpul hadiah cenderamata khas,” katanya.
Lee Ming menambah, Perunding Pemakanan Kanan Antarabangsa Melilea, Cherlyn Chan yang mempunyai pengalaman luas akan mengendalikan ceramah tersebut.

Pada 15 Mac pula diadakan Larian Buah Pinggang bermula jam 6.30 hingga jam 10 pagi dan dijangka
akan disertai sekitar 1,000 peserta.

Menurutnya, acara larian terbahagi kepada dua kategori iaitu tiga kilometer dan lima kilometer di Dataran Tun Tuanku Bujang.

Ia adalah anjuran bersama Kelab Sibu Xsports.

“Tarikh pendaftaran dilanjutkan sehingga 15 Februari depan. Kita menyediakan pingat dan baju T untuk peserta,” ujarnya.

Suara Sarawak