MIRI: Cawangan Risikan Batalion 12 PGA Miri berjaya merampas sejumlah RM383,238 minyak diesel dalam Op Kontraban pada Isnin.
Turut diberkas lima orang lelaki tempatan kerana disyaki terbabit di dalam aktiviti mencuri minyak diesel bersubsidi itu.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, semua suspek ditahan di sebuah stesen Petronas di kawasan Bintulu-Miri Airport.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lima suspek dan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mendapati tangki minyak kenderaan tersebut telah diubah suai.
“Selain itu juga, kesemua suspek gagal untuk mengemukakan permit khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) untuk menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujarnya, kesemua barang rampasan diserahkan kepada KDNHEP untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan mencuri diesel bersubsidi.
“Orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan bekalan minyak daripada pengedar yang sah serta melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis,” katanya lagi.