MIRI: Bandar raya Miri kini bergerak pantas ke arah mencapai status bandar raya pintar dengan pembangunan berteraskan digital.
Demikian jelas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu bandar lain mencontohi Miri dalam mendigitalkan perkhidmatan sedia ada.
Menurutnya, taman di Miri dilengkapi dengan peralatan terkini dan isyarat dihantar ke pusat arahan sekiranya berlaku kecemasan dan dengan serta-merta masalah dapat diselesaikan.
“Ini merupakan satu kejayaan besar dan saya menggesa bandar raya lain mencontohi bandar raya Miri dari segi aplikasi pintar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penutupan Miri Pesta Mei 2023 di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini, malam kelmarin.
Tambah Abang Johari, bandar raya Miri berkembang daripada bandar lama kepada bandar moden yang dikenali sebagai bandar pintar.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Miri ditetapkan sebagai bandar yang kita hasrat untuk menyiapkan infrastruktur berdasarkan konsep bandar pintar.
“Dan di sinilah saya bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) untuk melengkapkan bandar Miri dengan peralatan canggih supaya pengurusan bandar Miri daripada perspektif budaya dan hubungannya dengan orang Miri boleh disepadukan melalui aplikasi tertentu.
“Oleh itu, saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Miri yang juga bertindak balas terhadap peralihan bandar ini ke arah menjadi bandar pintar,” katanya.
Beliau mendedahkan, Majlis Bandaraya Miri (MBM) menerima pakai Program Bandar Pintar Miri pada 15 Mac 2021 dan menggunakan aplikasi teknologi digital.
MBM katanya, menyediakan perkhidmatan cemerlang dan memberi manfaat kepada warga bandar raya ini serta memiliki bangunan ditauliahkan sebagai Status Indeks Bangunan Hijau (GBI) Bertauliah yang setaraf dengan standard antarabangsa.
Sesuai dengan status bandar raya pintar, Abang Johari mahu warganya mengamalkan sikap positif dalam pelbagai aspek.
“Jika Miri digelar sebagai International City atau bandar raya antarabangsa, sudah tentu standardnya perlu bertaraf antarabangsa baik dari sudut kebersihan, interaksi sosial, mahupun tingkah laku yang boleh mentamadunkan masyarakatnya menerusi norma antarabangsa,” katanya.
Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin dan Datuk Bandar Raya Miri Adam Yii Siew Sang turut hadir.