Miri diisytihar zon merah, Kluster Jelita

KUCHING: Daerah Miri diletakkan sebagai zon merah hari ini, apabila sejumlah 97 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kluster baharu iaitu Kluster Jelita turut diisytiharkan di Miri.
“Indeks kes kepada kluster ini ialah empat orang rakan perniagaan yang telah datang ke Miri dari Melaka dan Pahang yang telah dikesan positif Covid-19 pada 31 Disember 2020 iaitu kes 1,155, 1,156, 1,157 dan 1,165.
“Sehingga 11 Januari 2021, jam 12 tengah hari sejumlah 54 orang telah disaring dan lapan kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 25 individu negatif dan 21 individu yang masih menunggu keputusan.
“Kadar kes positif bagi kluster ini ialah 19.03 peratus,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan harian Covid-19 di Sarawak, di Bangunan Dun lama di sini hari ini.
Sementara, Uggah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Daerah Dalat dan Daerah Beluru pula telah bertukar status hijau ke status kuning setelah sejumlah 12 kes baharu dilaporkan pada hari ini.
Manakala, katanya Daerah Kuching dan Daerah Sibu kekal berstatus merah dengan sejumlah 112 kes jangkitan tempatan dilaporkan di dua daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Daerah Selangau, Sebauh, Samarahan, Sri Aman, Bukit Mabong, Meradong dan Bintulu kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan 12 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Manakala 28 buah daerah yang lain di Sarawak berada dalam status hijau.
Dalam pada itu, Uggah berkata enam kluster masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Jelita dan Kluster Bah Sayap di Miri, Kluster Pasai di Sibu, Kluster Keranji Tabuan dan Kluster Stutong di Kuching serta Kluster Mador di Meradong.