Miri FA sokong S’wak United

PERSATUAN Bola Sepak Bahagian Miri menyambut baik tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menubuhkan entiti baharu, Sarawak United.

Timbalan Presidennya Nazri Ahmad Lai berkata, ia merupakan inisiatif Posa untuk mengekalkan Sarawak untuk kekal bersaing dalam Liga Perdana.

“Ia satu tindakan yang unik, dan kami sebagai ahli gabungan memahaminya.

“Maknanya, beliau tidak rela status negeri Sarawak diperlekehkan,” katanya lagi.

Nazri, bekas pengurus skuad Piala Presiden Sarawak malah yakin, Sarawak United akan bangkit.

“Saya yakin pasukan yang dibentuk selepas ini lebih bertenaga dan dibarisi jurulatih dan pemain yang mantap.

“Visinya jelas, untuk naik ke Liga Super, justeru ia harus profesional.

Katanya, cerita lama mengenai Sarawak FA yang turun ke Liga M3 harus ditutup.

“Tidak perlu diingati. Fokus harus kepada pasukan baharu ini.

Pengambilan jurulatih luar Sarawak katanya, juga menarik kerana ia harus berdasarkan merit dan profesional.

“Kalau dari mula ini kita sudah memikirkan sasaran ini, dan kita berusaha mencari bajet yang sesuai, saya yakin pasukan ini akan memiliki daya saing,” tambahnya.

Beliau turut mengajak peminat untuk sama-sama mendoakan yang terbaik untuk pasukan yang akan dibentuk pada musim 2020 kelak.

Difahamkan penubuhan pasukan baharu ini akan diumumkan dalam mesyuarat Exco FAS, yang dijadualkan pada Selasa depan.