KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) meraih sejumlah RM20 bilion pelaburan komited dari Singapura sejak Januari 2023, dengan yang terkini RM7 bilion pelaburan langsung asing (FDI) daripada pelabur melalui misi pelaburan baru-baru ini ke negara itu, diketuai oleh Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Kementerian itu berkata beberapa syarikat termasuk INV New Material Technology, Agrocorp dan SIA Engineering Company secara kolektif komited untuk melabur RM7 bilion di Malaysia dan pelaburan itu dijadual dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“INV New Material Technology ialah anak syarikat Senior International (Singapore) and Shenzhen Senior Technology Material dan syarikat induknya ialah perusahaan terkemuka dalam industri pemisah bateri litium di China,” kata MITI dalam satu kenyataan.
Katanya, INV New Material Technology merancang untuk membina kemudahan pembuatan tercanggih untuk menghasilkan pemisah bateri untuk kenderaan elektrik (EV).
MITI berkata kemasukan satu lagi pengeluar komponen EV utama adalah rangsangan besar bagi matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) untuk menjadikan Malaysia hab serantau bagi industri EV, dan pelaburan ini juga dijangka mewujudkan sehingga 4,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Sementara itu, kementerian turut menambah Agrocorp, firma komoditi pertanian global yang berpengkhususan dalam penjualan produk makanan ruji seperti gandum, kekacang dan beras kepada pengeluar makanan terkemuka di rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah, merancang untuk menubuhkan kemudahan di Johor untuk mengeluarkan bahan ramuan makanan berasaskan tumbuhan.
Agrocorp mula menjalankan perdagangan komoditi pertanian pada 1990 dan sejak itu berkembang untuk mencapai perolehan lebih AS$3 bilion (AS$1=RM4.68), mengendalikan lebih daripada 30 produk komoditi pertanian di 50 negara.- Bernama