ARTIKEL

Miss Globe 2023 mahu perjuang isu sejagat rentas sempatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Bukan setakat mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama dinobat Miss Globe 2023, kemenangan ini juga menjadi wadah untuk beliau memperjuangkan isu sejagat yang merentas sempadan dan memecah rintangan.

Ketika pergolakan konflik berterusan di Gaza dan dunia menyaksikan pelbagai paparan kesengsaraan yang ditanggung penduduknya, kejayaan Manvin Khera ini adalah pemangkin komitmen untuk mencetus perubahan.

Ia juga membuktikan bahawa meskipun diselubungi kesukaran, ia bukan penghalang untuk seseorang menggapai impian dan menjadi pencetus inspirasi untuk yang lain.

Memiliki sifat penyayang, kemanusian serta kebaikan, model yang bercita-cita untuk menjadi peguam hebat ini menyeru agar ada usaha kolektif untuk merapatkan jurang, memahami perbezaan serta berusaha ke arah dunia bebas daripada keganasan dan kebencian.

“Ubah diri anda sebagaimana anda mahu dunia berubah … Sifat tamak manusia adalah punca semua penderitaan yang sedang berlaku di seluruh dunia dan ia perlu dinoktahkan. Banyak perkara sedang berlaku sekarang yang merobek hati saya, mendengar suara jeritan meminta pertolongan dan insan yang tidak berdosa maut pada usia yang amat muda.

“Walaupun umur saya sudah mencapai 22 tahun, saya masih belum puas hidup dan saya mahu hidup lebih lama,” Manvin berkongsi perasaannya dengan Bernama dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini.

Wanita tinggi lampai ini memenangi mahkota Miss Globe apabila menewaskan lebih 50 orang ratu cantik lain. Pertandingan Miss Globe ini berlangsung di Sports Palace in Durres, Albania, pada 17 November lepas. Gelaran Miss Globe sebelum ini disandang oleh Anabel Payano dari Republik Dominika.

Untuk rekod, Manvin dimahkotakan sebagai Ratu Wanita Malaya pada Oktober 2022 dan sekali gus memegang gelaran Miss Globe Malaysia 2023.

ADVOKASI UNTUK KENALKAN TARIKAN MALAYSIA
Berasal dari Ipoh, Perak dan membesar di kota metropolitan Kuala Lumpur, peluang berbicara dengan beliau menyerlahkan hakikat bahawa Manvin bukan setakat dianugerahkan dengan kecantikan tetapi juga hati waja untuk menyempurnakan misinya.


Beliau yang sedang mengikuti pengajian undang-undang di sebuah kolej terkemuka di ibu kota ini menanam tekad untuk mewakili Malaysia di persada antarabangsa, bukan semata-mata untuk pencapaian peribadi tetapi komitmen untuk mengharumkan nama Malaysia.

“Ramai meletakkan harapan tinggi untuk saya mengibar megah Jalur Gemilang dan saya bangga untuk berkongsi di sini bahawa semasa pertandingan Miss Globe saya memang mengibar bendera Malaysia di pentas pertandingan,” kata Manvin yang juga memenangi gelaran Miss Talent pada pertandingan berkenaan.

Sebagai duta globe, pada tahun 2024, beliau merancang untuk membawa bersama tradisi serta warisan Malaysia ke setiap penjuru dunia, termasuk keindahan pakaian Cheongsam dan Songket.

Menjadi aspirasi beliau untuk mempromosikan kepelbagaian kebudayaan negara ini yang menjadikan Malaysia unik dan indah.

Untuk tahun hadapan (2024), Manvin akan menjelajah beberapa negara, antaranya Kazakhstan, Sepanyol, Portugal, Filipina, Yaman dan Thailand dan bagi Manvin, ia bukan setakat perayaan kebudayaan tetapi peluang untuk memperkenalkan Malaysia.
Miss Globe 2023 ini juga handal dalam bidang sukan iaitu sukan memanah dan bola sepak di samping gemar aktiviti lasak seperti kembara hiking dan berasa tenang di kelilingi alam semula jadi. Bagi Manvin, advokasi untuk alam sekitar adalah pendorong kuat, ditambah kebimbangannya tentang kesejahteraan bumi.
Pencemaran plastik turut menjadi kebimbangan ratu cantik ini dan untuk itu, beliau menggalakkan perniagaan kecil mengamalkan gaya hidup mesra ekologi dengan melaksanakan amalan bebas plastik dalam kegiatan perniagaan mereka.
Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa mendidik masyarakat global tentang kesan buruk plastik sekali pakai ke atas alam sekitar bermula dengan masyarakat setempat.


“Sekali lagi, berubahlah jika anda mahu dunia berubah seperti yang anda inginkan,” katanya, sambil menekankan bahawa dianggarkan terdapat 160 juta tan metrik sisa plastik di dalam lautan.

Apabila ditanya tentang nasihat yang ingin beliau kongsikan dengan mereka yang ingin menjadi ratu cantik, Manvin menekankan bahawa mereka perlu memiliki sifat ‘keaslian’.
Beliau menjelaskan, dalam dunia yakni pertandingan ratu cantik yang sering menekankan glamor, yang penting perlu jujur dengan diri sendiri.


“Keaslian bagi saya adalah penting. Apa pun apa yang anda lakukan dan nyatakan, anda perlu kekalkan diri anda dan mempunyai niat yang murni.
“Jadilah diri anda sendiri, jangan berpura-pura. Kekal asli dan pamerkan diri yang sebenar. Keaslian adalah kunci untuk seseorang itu berbeza daripada yang lain,” kata Manvin yang juga mencipta nama dalam dunia fesyen dan hiburan.


Manvin turut yakin senyumannya yang mencerminkan perasaan gembiranya adalah juga sumber tenaga positif yang menjadikan beliau mudah mesra dengan orang lain.
Di akhir wawancara, beliau berharap kemenangannya sebagai Miss Globe 2023 akan membuka ruang untuk Malaysia memenangi lebih banyak gelaran ratu cantik di peringkat global.

LAIN-LAIN BERITA

Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan baharu

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan, dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa Selasa, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM). Kementerian

BERITA TERBARU

Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan baharu

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan, dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa Selasa, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM). Kementerian