KUALA LUMPUR: Pertandingan Miss Universe Malaysia (MUM) 2026 memperkenalkan mahkota rasmi terbaharu bernama Star of the East.
Mahkota itu dicipta bagi mengetengahkan identiti dan seni warisan negara di pentas antarabangsa.
Presiden merangkap Pengarah Kebangsaan MUM 2026, Ayu Omar, memperkenalkan mahkota berkenaan pada majlis Preliminary Miss Universe Malaysia 2026.
Ayu menjelaskan reka bentuk mahkota itu menggabungkan seni Melayu dan budaya Timur dengan sentuhan moden.
Beliau turut memberitahu bucu mahkota diinspirasikan daripada motif seni warisan Sarawak, lengkap dengan tatahan batu permata merah jambu fuksia.
Mahkota tersebut direka oleh Abbas Ais dan ditukang oleh pembuat mahkota Thailand, Maq daripada Junghuu Crown.
Malam kemuncak MUM 2026 akan berlangsung pada Jumaat ini, dengan pemenang mewakili Malaysia ke Miss Universe 2026 di Puerto Rico pada November depan seperti dilapor Bernama.



