SIAPA tidak kenal bunga yang paling besar di dunia? Bunga Rafflesia atau dalam bahasa Melayu disebut sebagai bunga pakma terkenal kerana saiznya yang besar dengan kelopak merah berbintik.
Namun tahukah anda bahawa tumbuhan parasit yang hidup di pokok tropika di Asia Tenggara itu berisiko pupus kerana habitatnya semakin terhad, menurut penyelidikan baharu?
Walaupun kebanyakan bunga ini nampak seperti sama, tetapi sebenarnya terdapat 55 spesies Rafflesia yang direkodkan di seluruh dunia.
Namun, menurut The Board of Trustees of The Sabah Parks, hanya terdapat sembilan spesies yang dijumpai di Kepulauan Borneo.
Antaranya Rafflesia arnoldii, Rafflesia tuan mudae, Rafflesia keithii, Rafflesia tengku adlinii, dan Rafflesia pricei. Bunga ini juga masih memegang rekod sebagai bunga terbesar di dunia dari segi kelebaran dan beratnya.
Ia boleh membesar dan mekar sehingga saiz 91 cm (atau tiga kaki) diameter, 1.9 cm tebal dan boleh mencapai berat sehingga tujuh kilogram.
Ia juga merupakan bunga raksasa yang penuh misteri. Jangka hayat hanya bertahan selama beberapa hari (paling lama seminggu) selepas ia betul-betul mekar.
Sebelum mekar, bunga ini mengambil masa lebih kurang sembilan bulan untuk bercambah dari biji benih kepada pod dan seterusnya menjadi bunga. Pertama kali ditemukan pada 1818 di hutan tropika Bengkulu, iaitu salah satu daerah di Pulau Sumatera, Indonesia.
Tumbuhan ini merupakan tumbuhan endemik yang boleh ditemukan di hutan tropika di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Filipina, Thailand dan Indonesia — tumbuhan ini tumbuh di lantai permukaan hutan.
Fakta menarik tentang bunga ini juga ialah ia tumbuhan parasit berdasarkan sifatnya yang hidup menempel pada tumbuhan pokok untuk mengambil nutrien dari pokok tersebut.
Selain itu, bunga ini turut mengeluarkan bau yang sangat menusuk seakan ‘bau bangkai haiwan’. Tujuannya untuk menarik seranggaserangga untuk dijadikan sebagai makanan.
Bunga Rafflesia merupakan khazanah alam hutan yang perlu dipelihara.
Kepupusan bunga ini hanya akan membawa kepada kerugian besar terhadap negara.
Menurut WWF, bunga itu kini diancam kepupusan disebabkan pembalakan, penebangan hutan dan diambil untuk tujuan perubatan oleh masyarakat tempatan.
Jadi tidak mustahil sekiranya setiap negara ini melihat bunga Rafflesia sebagai antara khazanah negara yang sangat dipandang tinggi nilainya.
Seperti contoh, Indonesia menyenaraikan bunga ini sebagai salah satu bunga nasional negara republik itu.
Di Malaysia, bunga dengan lima kelopak besar ini dilihat di atas setem, wang ringgit, dan guni plastik beras.
Di Sarawak, kebanyakan spesies yang dijumpai ialah Rafflesia tuan-mudae yang merupakan spesies endemik di Lundu sehinggalah ke bahagian tengah Sarawak iaitu di kawasan Belaga.
Taman Negara Gunung Gading merupakan destinasi tumpuan untuk melihat spesies ini berbunga. Ia juga dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak (1998).
Menjadi kesalahan bagi bagi mana-mana individu untuk memburu, membunuh, menangkap, menjual atau memiliki mana-mana spesies yang dilindungi ini atau terlindung sepenuhnya.
Bagi lebih memahami tumbuhan dan status pemuliharaannya, sekumpulan ahli botani antarabangsa meneliti 42 spesies Rafflesia yang diketahui dan habitatnya yang membiak terutama di Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.
Menurut penyelidik, berdasarkan kehilangan pesat habitat hutannya, serta strategi pemuliharaan dan pelan perlindungan yang tidak mencukupi, tumbuhan itu berisiko jauh lebih besar daripada yang diketahui sebelum ini.
Bahkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Plants, People, Planet yang dikaji semula memberitahu sesetengah spesies berisiko pupus sebelum diketahui oleh sains, dengan dianggarkan sebanyak 60 peratus spesies tersebut menghadapi risiko kepupusan yang teruk.
Sehubungan itu, saintis dan pengkaji alam menggesa kerajaan mewartakan lokasi penemuan bunga Rafflesia di seluruh negara sebagai tapak warisan sumber alam bagi mengelak kepupusan tumbuhan itu berikutan pelbagai aktiviti manusia termasuk dipercayai dipetik untuk bahan rawatan mengubati pelbagai penyakit.