MIRI: Mayat lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang ketika mencari sayur di kawasan semak Jalan Kerbau Jumaat lalu berjaya dikesan Unit Anjing Pengesan Polis (K9) sekitar jam 11.10 pagi hari ini.
Mangsa, Razaniee Tali berusia 70 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jarak 150 meter dari lokasi awal dilaporkan hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan berkata, mangsa ditemukan hasil operasi hari kedua pencarian dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Miri Central bersama Unit Anjing Pengesan K9 PDRM terbabit.
Beliau bagaimanapun mengesahkan mangsa telah meninggal dunia hasil pemeriksaan dijalankan oleh petugas Ambulans Hospital Miri yang hadir ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang dilaporkan hilang berjaya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasukan operasi dan beliau(mangsa) disahkan meninggal dunia di tempatnya ditemui oleh pasukan petugas dari Hospital Miri.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya dilakukan,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, salah seorang anak mangsa yang tidak didedahkan nama melaporkan bahawa ayahnya hilang berikutan gagal ditemui selepas keluar rumah pada awal pagi untuk mencari sayur di kawasan tersebut.
Dedahnya, usaha mencari mangsa di kawasan semak pada hari kejadian bagaimanapun gagal selepas beliau hanya menemui topi dan sayur milik mangsa.
Operasi mencari dan menyelamat(SAR) hari pertama turut dilakukan oleh BBP Miri pada jam 11.32 malam dan berakhir pada jam 12.50 tengah malam kerana cuaca gelap ditambah kawasan bersemak dan berpaya.
Operasi hari kedua seterusnya disambung semula pada jam 6.20 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.55 pagi.
