Misteri pahlawan bernama Bungai Nuing

KUCHING: Berbentuk seperti sebuah gong iaitu peralatan muzik masyarakat Iban – Batu Gong – pada asalnya dikenali sebagai Batu Bedawak atau Tawak yang bermaksud gong.

Terletak di Hulu Sungai Katibas, Song, Batu Gong mempunyai misteri tersendiri iaitu legenda seekor raksasa dipanggil sebagai  Remaung berlawan dengan seorang pahlawan Iban yang gagah bernama Bungai Nuing.

Michael Kullin, 55 berasal dari Sungai Tekalit, Song berkata pada asalnya batu tersebut mempunyai lubang.

“Cerita orang-orang tua mengatakan batu itu ditutup oleh Bungai Nuing menggunakan batu kerana dia tidak mahu Remaung memakan manusia. “Manusia ditangkap oleh Remaung akan dibawa masuk ke dalam lubang tersebut sebab itu Bungai Nuing menampal lubang itu dengan seketul batu lain,” katanya.

Tambahnya, kini batu tersebut menjadi tarikan kerana menyerupai sebuah gong di samping suasana sungai yang cantik. “Kini Batu Gong dibiarkan sahaja untuk tatapan turun-temurun agar terus menjadi sebuah cerita lama bagi masyarakat Iban di sana,” katanya.

Akibat ditampal seketul batu, lubang Batu Gong mempunyai bonggolan yang seakan-akan timbul seperti bonggolan gong. Terdapat juga mitos mengatakan masayarakat Iban Sungai Ketibas tidak dapat menahan sabar atas keganasan si Remaung  sehingga mereka meminta bantuan daripada Bungai Nuing di Pangau Libau.

Menurut kepercayaan masyarakat Iban, Panggau Libau hanya dihuni oleh mereka yang tampan, bijaksana dan penuh kesaktian. Bungai Nuing melawan Remaung selama tiga hari tiga malam, namun tidak ada siapa yang menang sehingga Bungai Nuing mengalahkan Remaung.

Bungai Nuing sengaja berlalu pergi seolah-olah kalah terhadap Remaung, tetapi sebenarnya dia bersembunyi di bawah batu tersebut menunggu Remaung masuk ke dalam lubang batu berkenaan.

Setelah Remaung masuk ke dalam Batu Gong itu, Bungai Nuing pantas keluar dan mengepal batu sekitar Sungai Ketibas menjadi bentuk bola dan terus disumbat ke dalam lubang Batu Gong.

Akhirnya Remaung mati di dalam Batu Gong kerana tidak dapat keluar dan masyarakat Iban di Sungai Ketibas hidup aman dan harmoni tanpa perlu merasa takut terhadap Remaung di Sungai Ketibas yang kaya dengan hasil hutan dan sungai yang mempunyai banyak ikan.

Batu Gong merupakan salah satu misteri yang masih dianggap suci oleh masyarakat Iban terutamanya bagi mereka yang masih mengamalkan animisme, pagan atau upacara miring kerana ada waktu tertentu tempat itu akan dipuja bagi meminta semangat ghaib.