ARTIKEL

Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kanan) ketika tiba di Kompleks DUN Sarawak bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Jefferson Jamit. | Foto: Ramidi Subari

Model Lembaga Pelabuhan Sarawak lebih berdaya saing, cekap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Model pemusatan pelabuhan boleh membantu pelabuhan-pelabuhan di Sarawak menjadi lebih berdaya saing dan cekap, sejajar dengan matlamat ekonomi yang lebih luas di wilayah ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata transformasi menerusi penubuhan Lembaga Pelabuhan Sarawak (LPS) boleh meningkatkan kecekapan, di mana pihak berkuasa berpusat boleh menyelaraskan operasi, menghapuskan lebihan, dan melaksanakan dasar seragam merentasi semua pelabuhan.

Selain itu, katanya, perancangan lebih strategik boleh diselaraskan dan komprehensif, dengan mengambil kira keperluan pembangunan seluruh wilayah dan bukannya pelabuhan individu.

“Pemusatan ini boleh memudahkan penyeragaman kualiti perkhidmatan di semua pelabuhan. Ini boleh meningkatkan keseluruhan pengalaman pengguna, menjadikannya lebih mudah diramal dan boleh dipercayai untuk pengirim dan pembawa,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Sarawak, 2024 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata LPS juga boleh memanfaatkan skala ekonomi dalam pembelian, latihan dan pelaburan, yang mana pihak berkuasa sesebuah pelabuhan mungkin tidak mampu membelinya secara bebas, dan ini boleh membawa kepada penjimatan kos yang ketara serta kemajuan teknologi.

Pada masa sama, beliau berkata ia boleh menggunakan kuasa tawar-menawar yang lebih besar apabila berurusan dengan syarikat perkapalan antarabangsa, pembekal dan kerajaan, sekali gus boleh menghasilkan syarat dan kadar perkhidmatan lebih baik.

“Pemusatan kawalan ini boleh membawa kepada piawaian keselamatan yang lebih konsisten dan lebih tinggi di semua pelabuhan.

“Dengan pengawasan berpusat juga, dasar alam sekitar boleh dikuatkuasakan dengan lebih seragam, memastikan semua pelabuhan mematuhi peraturan dan amalan yang mampan,” katanya.

Terdahulu, Uggah berkata Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan, 1961 telah wujud selama 63 tahun dan dalam tempoh tersebut, ordinan itu dipinda beberapa kali.

Menurutnya, Lembaga Pelabuhan Kuching ditubuhkan pada 1961 manakala Lembaga Pelabuhan Rajang ditubuhkan pada 1970 dan Lembaga Pelabuhan Miri pada 1981.

Katanya, di bawah ordinan itu, ketiga-tiga lembaga pelabuhan itu ditubuhkan sebagai badan berkanun untuk mengawal selia dan mengendalikan pelabuhan.

Menjelas lanjut, beliau berkata pada tahun 2009, kerajaan membuat keputusan untuk memisahkan Terminal Tanjung Manis daripada Pelabuhan Rajang dan menubuhkan Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis untuk mengawal selianya.

Katanya pada masa itu, Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis merupakan pihak berkuasa pelabuhan pertama yang bertindak sebagai pengawal selia manakala operasinya dikendalikan oleh pengendali pelabuhan yang diluluskan, Tanjung Manis Integrated Port Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

“Disebabkan keperluan bagi sebuah pelabuhan untuk mengawal industri di Taman Perindustrian Samalaju, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan Lembaga Pelabuhan Samalaju pada 2010 untuk mengawal selia pelabuhan baharu di Samalaju.

“Sama seperti Tanjung Manis, Lembaga Pelabuhan Samalaju juga berfungsi sebagai pengawal selia manakala operasi Pelabuhan Samalaju dikendalikan oleh pengendali pelabuhannya yang diluluskan, Samalaju Industrial Port Sdn Bhd,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU