Moga Allah murahkan rezeki kalian

BINTANGOR: “Syukur atas sumbangan yang dihulurkan. Semoga Allah balas jasa kalian. Itu luahan rasa syukur penerima bantuan zakat dan sedekah dalam program anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) Kawasan Tiga, Kampung Abang Ali Bintangor semalam.

Seramai 23 keluarga asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, yatim piatu, mualaf , fakir miskin dan orang kelainan upaya (OKU) menerima sumbangan dalam program berkenaan.

Ibu tunggal, Ana Abdullah, 76, berkata, dia terharu kerana dipilih sebagai salah seorang penerima sumbangan itu.

Bantuan yang dihulurkan itu katanya, membolehkan beliau menumpukan sepenuh tumpuan untuk menunaikan ibadah sepanjang Ramadan.

“Saya bersyukur ada yang prihatin. Malah, saya cukup teruja kerana masih berkesempatan mengerjakan ibadah puasa tahun ini. Hanya Tuhan yang mampu balas atas sumbangan yang cukup bermakna ini,” katanya kepada wartawan.

Penerima bergambar kenangan selepas menerima sumbangan sedekah dalam program anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) Kawasan Tiga, Kampung Abang Ali Bintangor semalam.

Orang Kelainan Upaya (OKU) Salleh Amban, 69, berkata, dia rasa bertuah kerana keadaannya mendapat perhatian penderma yang menghulurkan sumbangan.

“Saya dilahirkan tidak sempurna, namun menerima perkara itu sebagai ketentuan Allah.

Sekurang-kurangnya pemberian sumbangan ini dapat meringankan perbelanjaan kami sekeluarga,” katanya yang mengalami kecacatan kaki sejak dari kecil.

Seorang lagi penerima, Rokaih Tai, 70, turut meluahkan kegembiraan kerana bantuan itu dapat meringankan bebannya semasa menyambut Ramadan.

“Saya amat gembira menerima bantuan seumpama ini. Rasa syukur sangat-sangat. Mudah-mudahan Allah murahkan rezeki kalian,” katanya.

Pengerusi penganjurnya, Hasminie Hussen berkata, sumbangan berupa wang tunai dan makanan itu adalah ihsan penduduk setempat.

Nurhana menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan Ketua Kampung, Hussen Angga.

Katanya, bantuan yang disalurkan termasuklah beras , minyak masak, gula, garam, teh, minuman sirap, sabun mandi, selipar dan buah kurma.

“Kita juga menyerahkan sedikit wang tunai kepada penerima bagi membolehkan mereka membeli keperluan berbuka puasa dan harian yang lain.

“Program ini adalah lanjutan daripada program tahun lalu. Pada program kali ini, kita menyampaikan sumbangan kepada 23 asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim piatu, mualaf, fakir miskin dan OKU.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penderma yang bermurah hati dan kita berharap lebih ramai yang menyumbang supaya aktiviti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Majlis perasmian program dan penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Kampung Abang Ali, Hussen Angga.

Hadir sama isteri beliau, Aminah Abu Bakar dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaa (SMK) Bandar Bintangor, Nurhana Hussen.

Suara Sarawak